RASMI… Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali melancarkan Majlis Bulan Kebersihan Bandaraya
Kuching 2022 di Waterfront Kuching, semalam. Turut kelihatan Datu Junaidi Reduan, Dato Wee Hong Seng
dan Dato’ Ahmad Ibrahim.
KUCHING: Cadangan supaya Sabah mengusulkan Perjanjian Malaysia Baharu mengikut kaedah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak akan menjejaskan usaha Sarawak secara berterusan menuntut hak itu selama ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata ia adalah hak Sabah.
“Sarawak akan meneruskan perjuangannya dalam mendapatkan semula haknya tanpa mengira cadangan yang dikemukakan negeri jiran itu.
“Apa yang dibuat oleh Sabah saya rasa itu apa yang mereka hendak buat tapi ia tidak akan memberi kesan kepada apa yang kita buat atau apa yang telah kita laksanakan.
“Kita akan terus fokus untuk memperjuangkan hak Sarawak di bawah arahan Premier kita (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebersihan Bandaraya Kuching 2022 di Tebingan Kuching, semalam.
Di Penampang kelmarin, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan kepada kepemimpinan BN Sabah supaya mengusulkan Perjanjian Malaysia Baharu sebagai jalan ke hadapan yang lebih konkrit ke arah merealisasikan hak dan tuntutan negeri itu dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pada 1963, lima pihak menandatangani MA63 iaitu United Kingdom (UK), Persekutuan Malaya, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura (keluar Malaysia pada 1965).
Mengulas perkembangan perbincangan Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan berkaitan MA63, Sharifah Hasidah berkata ia masih berjalan.
Katanya, Sarawak telah memperoleh beberapa haknya kembali sejak beberapa tahun lalu manakala terdapat beberapa permohonan yang masih dalam rundingan.
Beliau berkata, Sarawak akan meneruskan perjuangan yang dimulakan oleh bekas Ketua Menteri, Pehin Sri Adenan Satem.
“Banyak perkara yang telah kita mohon yang mana ada perkara yang kita telah dapat, ada yang positif dan ada yang masih dalam rundingan.
“Kita tidak dapat melakukannya secara tergesa-gesa dan kita akan memperjuangkannya sehingga kita mencapai matlamat kita,” ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai tarikh baharu bagi mesyuarat MA63, Hasidah memberitahu tarikh tersebut belum ditentukan, namun berharap diadakan segera.
Oleh RYNNA SHA’ERRA