ZARINA ABDULLAH
LUNDU: Masyarakat yang kurang bernasib baik pastinya diberi perhatian dan sumbangan setiap kali menjelang musim perayaan bagi menceriakan serta meringankan bebab mereka.
Sehubungan itu, Skuad Sayang Tanjong Datu yang diwakili Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tanjong Datu Fatimah Abdullah menyampaikan sumbangan Raya Gawai kepada individu yang kurang bernasib baik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu di sini semalam.
Sumbangan yang pertama diserahkan kepada Afif Khairan Khasmadi yang baru menjalani pembedahan akibat penyakit Lymphoma dan akan menjalani satu lagi pembedahan selepas Hari Raya nanti.
Sumbangan turut diberikan kepada Haminah Seni dengan anak sulungnya baru balik dari Kuala Lumpur turut menjalani pembedahan. Beliau dikatakan beransur pulih dan akan mula kembali bersekolah di Tingkatan 6, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu.
Selain itu, Pemanca Benjamin Gersit Jais melalui PBB Tanjong Datu dan ketua kaum dan ketua masyarakat Daerah Lundu turun padang menghulurkan sumbangan ke Kampung Kedaong Lundu untuk dua penerima.
Kampung Sungai Lundu, Kampung Tabuan dan Kampung Sebemban juga setiap satu kampung diberi kepada dua penerima, manakala Kampung Sileng Dayak pula dihantarkan kepada tiga penerima.
Sumbangan seterusnya disalurkan kepada Maimunah Tan Elon dan Dayang Rabaah Awang Suaidi di Kampung Seketi Lundu.
Dan yang terakhir semalam sumbangan untuk Loba Bihim di Kampung Stunggang Melayu Baru dan Esot Bahrin di Kampung Dagang Lundu.
Dalam pada itu, Fatimah turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memberikan sumbangan dan bantuan bagi membolehkan pihaknya menyampaikan kepada golongan yang memerlukan.
“Terima kasih kepada yang menyumbang dan memberi semangat untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri serta Hari Gawai yang bakal menjelang.
“Walaupun ia sekadar menyambut bersama keluarga ,semoga perayaan ini nanti lebih bermakna,” katanya ringkas selepas selesai penyerahan di Kampung Dagang Lundu, semalam.
Sumbangan yang disampaikan berupa makanan asas seperti beras, telur, tepung, gula dan sebagainya.