Pemanca Asri Dolah (tengah) selepas membuat laporan di Balai Polis Daro bersama Penghulu Salleh Napi (dua dari kiri), Penghulu Gani @ Abdul Rahmam Suot (dua dari kanan), Ketua Kaum Ibrahim Seman (kanan) dan bekas Penghulu Kampung Bawang, Othman Manan (kiri sekali) yang dipecat baru-baru ini.
MATU: Sembilan Ketua Masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng hari ini meletak jawatan serentak, dengan notis 24 jam.
Tindakan itu dipercayai antara lain kerana tekanan pihak tertentu yang mengarahkan mereka menandatangani sebuah petisyen yang melibatkan seorang Ahli Parlimen tetapi mereka enggan tunduk.
Mereka yang terdiri daripada Pemanca, dua Penghulu dan enam ketua kaum, hari ini menyerahkan surat peletakan jawatan itu kepada Residen Bahagian Mukah di pejabatnya, Tingkat 10 Menara Pehin Setia Raja, Mukah.
Residen Bahagian Mukah tidak dapat dihubungi untuk ulasan lanjut.
Menurut sumber, sembilan Ketua Masyarakat itu tidak bersetuju dengan petisyen tersebut selain tidak mahu campur tangan dalam urusan politik.
Ini sejajar dengan peraturan yang terkandung di dalam Perkara 4 Memorandum Pekeliling Bilangan 36 /CMO/1532/1 bertarikh 24 Mac 1973 yang melarang ketua masyarakat terlibat dalam mana-mana urusan politik.
Sumber berkata, arahan untuk menandatangani petisyen itu datang daripada individu tertentu.
“Sekiranya kami enggan mematuhi arahan berkenaan, kemungkinan kontrak jawatan kami tidak akan dilanjutkan.
“Kami menghadapi tekanan daripada pihak tertentu yang menganggu-gugat tugas kami sebagai Ketua Masyarakat dan kami menganggap campur tangan ini sebagai tidak wajar kerana cuba bermain politik untuk kepentingan peribadi pihak tertentu,” kata salah seorang daripada mereka.
Difahamkan, dalam surat peletakan jawatan itu, mereka mengadu tidak dapat melaksanakan tanggungjawab di kawasan DUN N44 Jemoreng secara profesional kerana sering menerima arahan dan gangguan daripada pihak ketiga , sedangkan mereka sepatutnya hanya menerima arahan daripada Pegawai Daerah Matu.
“Kami berasa amat tidak puas hati dan terkilan kerana pelantikan kami sebagai Ketua Masyarakat adalah satu amanah untuk menjaga kepentingan masyarakat,” kata mereka.