BERKAWAL… Seorang pejuang Taliban berkawal di hadapan kuil Sikh berikutan serangan lelaki bersenjata di Kabul pada 18 Jun 2022. Lelaki bersenjata menyerbu sebuah kuil Sikh di ibu negara Afghanistan pada 18 Jun pagi, membunuh sekurang-kurangnya seorang anggota masyarakat dan mencederakan tujuh lagi , kata kementerian dalam negeri. • Foto AFP
KABUL : Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan tujuh lagi cedera setelah sebuah rumah ibadat Sikh di Kabul menjadi sasaran bom dan tembakan pada Sabtu, lapor Agensi Anadolu.
“Serangan itu menyasarkan kuil di wilayah Karte Parwan pada awal pagi
“Penyerang telah berjaya ditahan, bagaimanapun seorang penganut Sikh dan seorang anggota Taliban terkorban akibat serangan itu,” kata Abdul Nafi Takor, jurucakap Kementerian Dalam Negeri bagi kerajaan sementara Taliban.
Sebahagian daripada rumah ibadat turut terbakar dan beberapa kediaman turut rosak.
Menurut saksi, serangan berlaku ketika upacara sedang dijalankan di rumah ibadat berkenaan.
Tentera Taliban telah menyekat semua laluan menuju ke lokasi kejadian selepas serangan itu.
Tiada pihak mengaku bertanggungjawab setakat ini.
Pada 2020, 25 orang terbunuh dalam serangan bersenjata ke atas rumah ibadat Sikh di kejiranan Shor Bazar Kabul, yang mana Daesh, mengaku bertanggungjawab.
Komuniti kecil Sikh dan Hindu masih tinggal di Kabul.
Afghanistan mempunyai populasi kira-kira 35 juta penduduk dengan hampir 99.7 peratus daripadanya beragama Islam.-Bernama