KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semalam berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian Program Back To Nature di Pavilion Bukit Jalil, dekat sini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka pada 11.05 pagi disambut Pengerusi Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) Fully Chye Goet Lee dan Penasihat PSJKM yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak.
Tunku Azizah turut berkenan meluangkan masa melawat gerai jualan dan pameran serta mencemar duli melakukan sendiri proses mengekstrak tumbuhan di atas fabrik yang dinamakan sebagai ‘eco-printing’.
Sementara itu, Chye berkata berdasarkan laporan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), nilai eksport dan import produk tekstil dan pakaian negara melebihi RM28 bilion setahun.
“Ini menunjukkan permintaan produk tekstil amat tinggi, justeru usaha bagi meningkatkan dan membimbing semua peserta dalam persatuan perlu ditingkatkan supaya mereka dapat memasuki pasaran ini bagi meningkatkan pendapatan.
“Tanggungjawab persatuan seni bukan sahaja melatih peserta mahir hasilkan produk tetapi tanggungjawab lebih besar untuk pastikan bagaimana kemahiran dipelajari dapat meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian program itu.
Program Back To Nature anjuran PSJKM diadakan bagi memupuk penggunaan sumber semula jadi iaitu daripada tumbuh-tumbuhan dalam penghasilan produk, fabrik dan corak rekaan sekali gus mengurangkan penggunaan pewarna sintetik dalam industri.
Program bertemakan ‘Vaksinasi Cegah Covid-19, Kemahiran Cegah Kemunduran’ itu diadakan bertujuan melahirkan usahawan yang berkemahiran dalam menghasilkan produk mesra alam.
Sebanyak 50 gerai jualan dalam kalangan peserta PSJKM dan Koperasi Dagang Seni Malaysia yang terdiri daripada suri rumah, asnaf, Orang Kelainan Upaya, Orang Asli turut serta dalam program yang berlangsung selama sembilan hari bermula 18 Jun lepas. – Bernama