KUALA LUMPUR: Seperti sedia dimaklumi, semua penjawat awam menerima gaji semalam namun perlu diingatkan agar mereka terus kekal mematuhi peraturan kerajaan iaitu, mengehadkan perjalanan masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sejak dikuatkuasakan, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan memasuki hari kelapan semalam.
Sebagaimana lazim pada hari penerimaan gaji, orang ramai dijangka menuju ke pasar raya dan pasar awam serta cawangan Mesin Teler Automatik (ATM) untuk mengeluarkan wang, dan melakukan pembelian barangan keperluan.
Menyahut nasihat Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, orang ramai tidak digalakkan berpusu-pusu ke bank, bagi memastikan jarakan sosial dan keselamatan awam terjamin, dalam usaha mengekang wabak Covid-19.
Hari ini bukan kakitangan awam sahaja yang menerima gaji, tetapi ada juga sebilangan pekerja di syarikat swasta yang menerima kemasukan gaji lebih awal, termasuk mereka yang mendapat bonus daripada majikan masing-masing.
Selain gaji, Kementerian Wanita dan Keluarga turut memaklumkan seramai 500,000 penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), menerima wang bantuan itu semalam.
Tidak mustahil orang ramai mengambil peluang dengan situasi ini, untuk keluar membeli keperluan asas, namun perlulah berjimat cermat, tidak panik dan khuatir, kerana kerajaan telah memberi jaminan bekalan barangan asas adalah mencukupi.
Di Melaka, kerajaan negeri menyarankan rakyat yang ingin membeli barangan keperluan harian perlu datang awal ke pasar raya, bagi mengelakkan kesesakan berikutan kebanyakan premis di negeri itu, diminta mengehadkan kemasukan pelanggan pada satu-satu masa.
Justeru, atas dasar tanggungjawab bersama, orang ramai perlu memastikan jarak sosial ketika berada di tempat seperti pasar raya dan pasar awam, memakai penutup mulut dan hidung, mengamalkan kebersihan diri, menggunakan cecair pembasmi kuman dan hanya ketua keluarga dibenarkan keluar membeli barangan keperluan, atau menemani ahli keluarga untuk mendapatkan kesihatan.
Sepanjang PKP dikuatkuasakan sejak 18 Mac, peratusan pematuhan rakyat dari sehari ke sehari menunjukkan peningkatan dan telah mencapai 95 peratus, dan diharapkan kadar itu semakin bertambah baik bagi memutuskan rantaian jangkitan virus Covid-19, yang telah meragut 16 nyawa di negara ini, setakat malam Selasa lepas.
Selain itu, kerajaan juga mengingatkan orang ramai yang berada di kampung, agar terus berada di kampung halaman masing-masing, dan tidak pulang ke bandar buat masa ini.
Hal ini kerana, kerajaan mahu peratusan pematuhan rakyat kekal tinggi berikutan kesesakan di bandar ketika ini semakin berkurang dan jalan raya semakin lengang, hasil kerjasama bersepadu yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rela dan pihak berkuasa tempatan.
Ismail Sabri berkata, bagi membendung perkara itu polis telah mengadakan sekatan jalan raya di 23 plaza tol di seluruh negara.
Orang ramai berhadapan dengan tindakan undang-undang jika mereka gagal mematuhi arahan dan nasihat polis untuk mematuhi PKP, yang pertama kali dilaksanakan di Malaysia.- BERNAMA