KUCHING: Sarawak telah mencapai bahagian pendapatan yang lebih besar daripada minyak dan gas yang dihasilkan di negeri ini melalui Cukai Jualan Negeri (SST), kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau memberitahu, SST yang dikutip daripada minyak mentah dan gas asli cecair sejak 1 Januari 2019 telah menjadi penyumbang utama kepada negeri ini berjumlah RM8.52 bilion setakat ini.
“Kita mampu mengawal pengagihan gas, termasuk gas petroleum Cecair (LPG) di bawah Ordinan Pengagihan Gas.
“Malah LPG adalah barang terkawal dan harga LNG adalah tetap untuk seluruh Malaysia di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan persidangan hari kelapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19, semalam.
Katanya, harga isi rumah LPG telah pun disubsidi sehingga 50 peratus oleh Kerajaan Persekutuan.
“Harga terkawal semasa untuk silinder berisi LPG 14kg adalah pada RM26.60 (RM1.90/kg berbanding harga pasaran kira-kira RM4.20/kg atau RM59.80/14kg).
“Sehubungan itu, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus melindungi kepentingan pengguna gas melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi bagi memastikan keselamatan bekalan dan harga yang saksama di seluruh Sarawak,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak juga telah berjaya menandatangani Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) dengan PETRONAS pada 7 Disember 2020, yang memberikan PETROS peranan untuk mengawal selia dan memantau minyak, perlombongan dan penerokaan di semua kawasan daratan Sarawak.
Menurutnya, antara pencapaian yang telah dicapai oleh PETROS ialah mendapatkan kontrak selama 29 tahun untuk Blok Pesisir Sarawak SK433, Adong Kechil di kawasan Miri-Marudi.
“Pencapaian lain adalah PETROS membawa kepentingan dalam keempat-empat Blok Eksplorasi baharu luar pesisir Sarawak dalam Pusingan Bidaan Malaysia 2021 (MBR 2021) iaitu SK427, SK439/SK440 dan SK437.
“Seterusnya, 1,200 mmscf/d volume sumber gas asli untuk memacu pertumbuhan industri hiliran, penjanaan kuasa dan hab petrokimia di Bintulu serta menyokong industri hiliran di seluruh Sarawak dalam jangka panjang,” jelasnya.