BACHOK: Pengalaman menguruskan operasi persekolahan sewaktu penularan wabak Covid-19 bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dilaksanakan sekiranya tidak mempunyai kerjasama yang baik oleh semua pihak, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.
Katanya, tanpa komitmen dan kecekapan pengurusan Kementerian Pendidikan (KPM) serta warga pendidik agak mustahil untuk beliau memimpin tanggungjawab tersebut.
“Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana saya mempunyai barisan pengurusan di KPM dan warga pendidik yang sentiasa memberi komitmen terbaik dalam memastikan sistem pendidikan negara terus berjalan lancar.
“Kita melalui tempoh yang sangat sukar ketika penularan wabak Covid-19 kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini sehingga kita terpaksa merangka semula sistem pendidikan dengan mengeluarkan buku garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk dipatuhi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-51 Tahun 2022 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Radzi berkata hatinya cukup tersentuh melihat pengorbanan para guru yang sentiasa bertungkus lumus memahami setiap perincian garis panduan yang dikeluarkan pihak kementerian bagi memastikan kelancaran proses pembelajaran kepada murid dapat dicapai.
“Alhamdulillah segala panduan yang diberikan dapat dilaksanakan sebaik mungkin seperti perlu menunggu di hadapan pintu pagar untuk memeriksa suhu dan kesihatan pelajar, mengajar secara dalam talian, mematuhi sistem penggiliran dan sebagainya.. Terima kasih kepada cikgu-cikgu semua,” katanya.
Radzi berkata, walaupun dalam tempoh tersebut sistem pendidikan berdepan dengan cabaran yang hebat, namun pihaknya berjaya menyelesaikan 87 peratus daripada 18,702 kekosongan guru yang dihadapi sejak sekian lama.
“Baki lagi 13 peratus itu akan diisi secara berperingkat memandangkan kementerian berdepan masalah kekurangan guru dalam pasaran terutama membabitkan subjek kritikal seperti Bahasa Inggeris dan Pendidikan Seni Visual,” katanya. – Bernama