SIMBOLIK… Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom melakukan simbolik perasmian mencelup kuih pada Program Mantar Aco Lepa Ajau Birami Gawai di RTM Kuching. •Foto HERRIEY NAHA
KUCHING: Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkolaborasi dengan Jabatan Pertanian Sarawak (DOA) dan Persatuan Alumni Dayak Universiti Malaya (PADUM) bagi melaksanakan Program Mantar Aco Lepa Ajau Birami Gawai sempena sambutan Hari Gawai yang akan menjelang tidak lama lagi.
Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Sarawak, Nasrul hakim Md Noh berkata, program yang bermaksud pra-hari meriah Gawai selepas menuai padi (dalam bahasa Lun Bawang, Kenyah, Bidayuh dan Iban) tersebut pertama kali dianjurkan pada tahun ini.
“Program ini diinspirasikan daripada program pandu lalu (drive thru) lambuk pedas semasa musim Ramadan yang lalu, namun ia digantikan dengan pengagihan kuih tradisi Iban, Bidayuh, Kenyah/Kayan, Lun Bawang/Bisaya.
“Dalam program ini, sebanyak 4,000 setiap jenis kuih penganan atau kuih jala (Iban), kuih cap/cuan (Bidayuh), urum atau dinoh (Kenyah dan Kayan) dan kelupis (makanan tradisi Limbang-Bisaya dan Lun Bawang) diagihkan kepada orang awam secara pandu lalu,” katanya.
Jelasnya, program tersebut ialah salah satu daripada program khidmat masyarakat, di samping memperkenalkan kuih tradisi kaum Dayak yang merayakan perayaan Gawai di Sarawak.
Ia juga merupakan program bersepadu yang turut melibatkan perkhidmatan Lun Bawang dan Bisaya dari RTM Limbang dan perkhidmatan Kayan dan Kenyah dari RTM Miri.
“Selain itu, aktiviti memasak dan pembungkusan kuih oleh RTM, Jabatan Pertanian dan PADUM seawal 8.30 pagi tadi (semalam), manakala agihan kuih tradisi kaum Dayak kepada orang awam bermula pada 3.30 petang di pintu utama RTM Kuching.
“Agihan didahului oleh RTM, rakan strategik, persatuan dayak seperti Persatuan Nasional Dayak Bidayuh (DBNA), Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU), Persatuan Kebangsaan Orang Ulu (OUNA), Persatuan Wanita Kayan Kenyah, Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) dan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor),” jelasnya pada Program Mantar Aco Lepa Birami Gawai di Gelanggang Badminton, RTM di sini, semalam.
Tambahnya, tetamu kehormat juga ditemubual oleh WalFM Iban dalam siaran secara langsung di radio dan media sosial pada 4.00 petang.
Turut hadir, Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Sarawak, Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Sarawak, Dominic Chunggat.