MANCHESTER City semalam mengumumkan mereka telah mencapai persetujuan untuk menandatangani bintang penyerang Erling Haaland dari Borussia Dortmund menghantar kenyataan yang tidak menyenangkan kepada pesaing mereka.
Pemain antarabangsa Norway itu akan berpindah ke Etihad selepas juara Liga Perdana Inggeris itu bersetuju untuk membayar klausa pelepasan 60 juta euro seperti yang yang dilaporkan.
“Manchester City boleh mengesahkan kami telah mencapai persetujuan secara prinsip dengan Borussia Dortmund untuk perpindahan penyerang Erling Haaland ke kelab pada 1 Julai 2022,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
“Perpindahan tetap tertakluk kepada syarat kelab memuktamadkan terma dengan pemain itu.”
Perjanjian untuk pemain berusia 21 tahun itu menamatkan pencarian lama City untuk pemain penyerang sebenar bagi menggantikan penjaring terbanyak Sergio Aguero, yang meninggalkan kelab tahun lalu.
Kelab itu gagal dalam percubaan berprofil tinggi untuk mendapatkan kapten England, Harry Kane dari Tottenham Hotspur pada musim panas lalu.
Haaland, yang bapanya Alf-Inge bermain untuk City dari 2000 hingga 2003, telah menjadi sensasi sejak menyertai Dortmund dari RB Salzburg pada Januari 2020, menjaringkan 85 gol dalam 88 penampilan untuk kelab dari Jerman itu.
Spekulasi yang mengaitkan City dengan Haaland telah meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan laporan pada hari Isnin mendakwa pemain itu telah menjalani pemeriksaan perubatan.
Pengurus Pep Guardiola enggan membincangkan situasi itu dalam sidang akhbar pada hari Rabu menjelang perlawanan pada hari Khamis di Wolves, tetapi semua meramalkan perjanjian itu akan berlaku.
“Semua orang tahu situasi itu, tetapi saya tidak sepatutnya bercakap kerana saya tidak suka bercakap mengenai masa depan, musim depan,” katanya.
“Pada masa yang sama saya harus mengatakan sesuatu, tetapi Borussia Dortmund dan Man City memberitahu saya, saya tidak dibenarkan untuk berkata apa-apa sehingga perjanjian itu selesai sepenuhnya, jadi saya tidak boleh bercakap. Saya minta maaf. Kita akan ada masa untuk bercakap mengenainya.”
City, yang merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris musim ini dengan 89 gol, sering bermain tanpa penyerang utama yang diiktiraf sejak dua musim lalu. – AFP