LEWIS Hamilton yang kecewa mempersoalkan strategi pasukan Mercedes pada Ahad selepas dia menduduki tempat keenam di belakang rakan sepasukan George Russell di Grand Prix Miami.
Selepas perlumbaan kelima tahun ini, Hamilton berada di tempat keenam dalam kedudukan pemandu dengan 36 mata, manakala rakan senegara dari Britain di tempat keempat dengan 59 mata.
Juara dunia tujuh kali itu berkata dia terkejut apabila ditanya sama ada dia mahu menukar tayar baharu semasa tempoh Kereta Keselamatan selepas 41 pusingan perlumbaan sulung 67 pusingan di Autodrom Antarabangsa Miami, yang dimenangi oleh Max Verstappen.
“Saya benar-benar tidak tahu, dalam senario itu saya tidak tahu di mana semua orang berada,” jelasnya ketika ditanya mengenai kejadian itu.
“Apabila pasukan berkata ‘itu pilihan anda’ — saya tidak mempunyai maklumat untuk membuat keputusan.
“Itu tugas anda! Buat keputusan untuk saya. Anda mempunyai semua butiran di hadapan anda. Saya tidak.
“Itulah sebab anda bergantung kepada mereka, tetapi hari ini mereka memberikannya kepada saya dan saya tidak memahaminya.”
Pasukan memutuskan untuk tidak menukar tayer kereta Hamilton.
“Ia agak malang dengan Kereta Keselamatan, tetapi sekurang-kurangnya kami mendapat mata hari ini,” katanya.
“Kami menamatkan perlumbaan dan kebolehpercayaan adalah baik. Kami hanya perlu terus mencuba. Saya teruja untuk, pada satu peringkat, mengorak langkah ke hadapan, yang belum kami lakukan.”
Dia telah menamatkan perlumbaan di tempat ke-13 dua minggu sebelum ini di Grand Prix Emilia Romagna.
Charles Leclerc dari Ferrari mendahului perlumbaan kejuaraan dengan 104 mata di depan juara dunia Verstappen dari Red Bull dengan 85. – AFP