MEMBANGGAKAN… Atlet Sarawak meraikan kemenangan bersama Jurulatih Malaysia, Master Jin Jun Beom (dua kiri) selepas majlis penyampaian hadiah di Bandaraya Goyang, Korea baru-baru ini.
ATLET poomsae Persatuan Taekwondo Negeri Sarawak (WTF) mengharumkan nama negara dengan menyumbang pingat perak dan pinggat gangsa pada temasya Kejohanan Taekwondo Poomsae Antarabangsa Goyang 2022 di Gyeonggi-do, Bandaraya Goyang, Korea baru baru ini.
Lebih 2,000 atlet dari 70 negara Persekutuan Taekwondo Dunia (WT) berkumpul di Bandaraya Goyang, Korea untuk sukan Taekwondo dan mencipta pemandangan yang hebat sebagai langkah aman untuk membuka sempadan.
Nurul Hidayah Abdul Karim dari Sarawak menghadiahkan pingat perak menerusi gandingannya bersama Jason Loo dalam acara poomsae berpasangan campuran.
Manakala satu pingat gangsa hasil sumbangan Nur Humaira Abdul Karim dalam acara berpasukan perempuan.
Presiden Persatuan Taekwondo Negeri Sarawak (WTF) Azizul Annuar Adenan berasa gembira kerana ini adalah satu lagi pencapaian dan penghargaan kepada badan induk negeri.
“Saya sangat gembira Persatuan Taekwondo Negeri Sarawak (WTF) terus memenuhi kehendak semua kelab dan ahli dalam komuniti Taekwondo Sarawak serta menyumbang kepada penambahbaikan standard atlet serta jurulatih menyamai standard kelas dunia,” katanya.
Nurul Hidayah, juara SUKMA 2016 dan 2018, juga juara Sukan SEA Filipina Ke-30, 2019 dan adiknya Nur Humaira, juara kejohanan taekwondo negeri dan kebangsaan tahun 2018 dan 2019, telah menunjukkan semangat melawan yang begitu tinggi sekali gus membuktikan mereka bekerja gigih semasa latihan dan usaha diberikan oleh jurulatih juga berbaloi.
“Atlet kita berpeluang besar untuk menggondol pingat dalam acara poomsae Sukan Sea 2022 yang akan berlandung di Hanoi, Vietnam dari 12 hingga 23 Mei tahun ini. Doa terbaik saya sentiasa bersama pasukan Taekwondo kita“ ujar Azizul.