KUALA LUMPUR: Kaukus Medical Cannabis semalam mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan isu-isu dasar berkaitan industri hem, ganja untuk tujuan perubatan dan ketum untuk kegunaan di Malaysia.
Menurut kaukus berkenaan dalam kenyataan semalam, semasa pertemuan itu perdana menteri telah memberi respons positif terhadap isu-isu yang dibangkitkan dan isu-isu berkenaan akan diperhalusi pada mesyuarat Kabinet.
“Industri ini adalah satu industri yang sedang giat dibangunkan oleh banyak negara luar. Lebih 40 buah negara sudah membenarkan penggunaan kanabis untuk perubatan. Nilai pasaran industri ini cecah RM60 bilion. Malah, negara jiran seperti Thailand juga sedang mengkaji industri ini untuk negara mereka.
“Kaukus Medical Cannabis percaya bahawa Malaysia mempunyai ruang dan peluang yang besar dalam industri ini untuk tujuan perubatan, penyelidikan dan mampu memberi manfaat besar kepada negara,” menurut kenyataan tersebut.
Pada pertemuan berkenaan kaukus itu juga telah membangkitkan isu berkaitan rakyat Malaysia yang didakwa di mahkamah dan disabitkan bersalah kerana penggunaan ganja untuk tujuan perubatan.
“Pandangan perundangan juga menjadi perhatian utama dalam pertemuan rasmi sebentar tadi. Kaukus Medical Cannabis mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian perdana menteri atas sesi pertemuan rasmi sebentar semalam.
“Kerjasama yang erat dalam isu ini sudah pasti akan memberikan manfaat yang besar kepada rakyat dan negara,” kata kenyataan itu.
Kaukus Medical Cannabis adalah jalinan kerjasama dwipartisan antara Ahli-Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Selain Syed Saddiq, anggota kaukus lain yang hadir dalam pertemuan itu ialah Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang), Khalid Abd Samad (Shah Alam), Datuk Dr. Xavier Jayakumar A/L Arulanandam (Kuala Langat), Datuk Ignatius Darell Leiking (Penampang), Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching) dan Dr. Azman Ismail (Kuala Kedah).
— Bernama