TULAR…Gambar jeti kayu belian siap dibina Kampung Mutap di Bekenu menelan belanja RM50,000 dipersoalkan netizen di media sosial.
MIRI: Kos bagi pembinaan jeti kayu bernilai RM50,000 di Kampung Mutap, Bekenu dekat sini adalah wajar.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Miri berkata demikian menerusi kenyataan media berhubung isu pembinaan jeti berkenaan yang telah siap dengan kos RM50,000 yang dipertikaikan netizen sehingga menyebabkan tular di media sosial sejak Ahad lalu.
Kata jabatan itu, jeti berkenaan dibina menggunakan kayu belian yang bermutu tinggi dan harganya yang mahal.
“Selain penggunaan kayu belian, pelbagai faktor diambil kira. Antaranya ialah keadaan laluan ke Kampung Mutap, logistik dan langkah keselamatan berikutan kawasan itu dipenuhi buaya,” jelas kenyataan itu.
Jelasnya, kayu belian yang digunakan pula bernilai RM9,000 semeter, lebih rendah daripada kadar harga pasaran.
“Pembinaan jeti itu pada mulanya dicadangkan mengguna keluli, tetapi disebabkan kos yang terlalu tinggi, Ketua Kampung Mutap, Sediah Abdullah menolak cadangan itu dan memilih jeti belian sebagai ganti.
“Dengan bajet RM50,000, JKR Sarawak berjaya mereka bentuk jeti sepanjang 15 meter dengan dua tangga,” kata kenyataan itu.
Mengenai kronologi pelaksanaan projek, JKR memberitahu, pihaknya mengadakan lawatan ke tapak projek di kampung itu pada 21 September tahun lalu.
Pada masa itu, JKR turut mencadangkan jeti keluli kerana ia sangat teguh namun kelemahannya ialah jeti keluli sedemikian jauh lebih mahal dan keluasan jeti yang boleh dibina adalah kurang berbanding dengan jeti diperbuat daripada kayu belian.
Selepas mendengar penjelasan berkenaan, Ketua Kaum (KK) Kampung Mutap, Sediah Abdullah, menolak cadangan jeti keluli dan memilih untuk pembinaan menggunakan kayu belian.
Ketua kaum juga turut mencadang dan meminta reka bentuk bagi jeti yang sepanjang 30 meter dan dilengkapi dengan pondok kayu.
“Bagaimanapun, pegawai kami memaklumkan kepada ketua kampung tersebut bahawa permintaan beliau tidak dapat dilakukan kerana bajet yang terhad.
” KK Sediah bersetuju bahawa kami mereka bentuk mengikut bajet yang diperuntukkan yang dibenarkan.
“Selain itu, KK akan meminta satu lagi dana daripada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus yang merupakan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Bekenu untuk melaksanakan fasa dua projek jeti itu kelak,” jelas kenyataan itu lagi.
Pembinaan jeti tersebut telah siap pada 6 April lalu.
Terdahulu, foto satu jeti kayu sepanjang 15 meter melalui projek siap bina baharu Jeti Kampung Mutap, Bekenu tular di media sosial kerana struktur jeti yang dibina menggunakan kayu dengan ukuran lebar satu meter dan panjang 15 meter itu memakan kos sebanyak RM50,000 yang dianggap tidak wajar oleh netizen.
Jeti itu dibina untuk menggantikan jeti lama yang rosak dan tidak dapat digunakan lagi.
Oleh LIONG CHAI LING