FOKUS KEPADA PRESTASI PENGELUARAN, EKSPORT… April yang juga penanda aras mencatat paras rintangan utama pada RM6,000 satu tan sewaktu ditutup. MPOB juga berkemungkinan menyaksikan lebih banyak aliran penurunan di pasaran ini sehingga paras RM5,400 hingga RM5,600 satu tan.
KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan dagangan tidak menentu selepas pelabur mengambil petunjuk daripada laporan Unjuran Bekalan dan Permintaan Pertanian Dunia (WASDE) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Ketua Penyelidik Komoditi, Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata, laporan WASDE telah dikeluarkan kelmarin, namun disebabkan pasaran telah ditutup, impaknya ke atas niaga hadapan MSM hanya dapat dilihat pada minggu ini.
Dalam pada itu, laporan MPOB pula akan dikeluarkan pada 11 April 2022.
“Fokusnya juga kepada prestasi pengeluaran dan eksport bagi tempoh separuh April yang akan menentukan sentimen bagi keseluruhan bulan tersebut,” katanya kepada Bernama.
Selain itu katanya, bulan itu yang juga penanda aras mencatat paras rintangan utama pada RM6,000 satu tan sewaktu ditutup.
“Kita juga berkemungkinan menyaksikan lebih banyak aliran penurunan di pasaran ini sehingga paras RM5,400-RM5,600 satu tan,” katanya.
Selain itu, Anilkumar berkata pada masa ini, destinasi belian minyak sawit selain India juga tidak banyak membuat pembelian berikutan margin import tidak menarik.
Bagaimanapun, keadaan boleh berubah dengan pantas sekiranya harga minyak saingan dan tenaga terus mengukuh, katanya.
Bagi minggu baharu berakhir, niaga hadapan MSM diniagakan kebanyakannya tinggi, menjejaki pengukuhan harga minyak kacang soya di Lembaga Dagangan Chicago, peningkatan pasaran tenaga serta jangkaan prospek eksport lebih kukuh.
Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, April 2022 naik RM318 kepada RM6,681 satu tan, Mei 2022 meningkat RM351 kepada RM6,307 satu tan, Jun 2022 meraih RM355 kepada RM5,921 satu tan, Julai 2022 menokok RM379 kepada RM5,739 satu tan, Ogos 2022 menambah RM374 kepada RM5,650 satu tan dan September 2022 meningkat RM346 kepada RM5,595 satu tan.
Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 226,926 lot daripada 240,623 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka susut kepada 192,984 kontrak daripada 193,769 kontrak, sebelum ini.
Harga fizikal MSM bagi April Selatan melonjak RM300 kepada RM6,700 satu tan.- Bernama