SERPIHAN pesawat terhempas yang ditemui di Daerah Tengxian di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang selatan China, 22 Mac 2022. • Foto AFP
BEIJING: Pihak berkuasa China mengesahkan terdapat kematian dalam nahas pesawat terhempas membabitkan kapal terbang milik syarikat penerbangan China Eastern Airlines, namun tidak mendedahkan jumlahnya.
Berdasarkan keadaan di lokasi nahas, peluang untuk menemukan mangsa terselamat adalah tipis.
Menurut Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) semalam, pesawat itu terputus hubungan dengan menara kawalan ketika melalui bandar Wuzhou.
Terdapat seramai 123 penumpang dengan sembilan kru dalam penerbangan tersebut.
Pesawat tersebut berlepas dari bandar Kunming pada pukul 1.11 petang waktu tempatan dan terputus hubungan pada pukul 2.22 petang.
Pesawat itu mulanya dikesan terbang pada ketinggian 29,100 kaki dan selepas 2 minit 15 saat, kapal terbang berkenaan menurun 9,075 kaki.
Dalam tempoh 20 saat selepas itu, pesawat terbabit dikesan terbang pada ketinggian 3,255 kaki dan kelajuan 376 knot sebelum terputus hubungan. – Bernama