DIYANA SAMSUDDIN
KUCHING: Rata-rata para peniaga dan usahawan di sekitar bandar raya ini belum dapat menarik nafas lega terhadap pengumuman Kerajaan Sarawak terhadap sektor ekonomi dibenarkan beroperasi mulai hari ini.
Menurut pengusaha kantin DBKU, Zamrut Awi, 50, pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas disambutnya dengan rasa serba salah.
“Gembira ada juga dan gusar ada juga memandangkan selagi kes jangkitan pandemik Covid-19 belum mencapai angka 0 (sifar) saya anggap kebenaran ini bukan suatu khabar yang menggembirakan kita semua,” katanya yang turut mengusahakan Wafdan Catering.
Menurutnya lagi, berada di sektor perniagaan makanan pengumuman oleh Uggah tempoh hari memberi sedikit cabaran terhadap modal untuk membuka perniagaannya kembali.
“Pandemik ini memberi impak perubahan besar waima perniagaan sudah dapat mula beroperasi saya kuatir pelanggan akan berkurangan dari sebelum penularan wabak.
“Namun saya positif terhadap sambutan pelanggan dan semoga rezeki kami masih di bidang ini,” ujarnya sambil mengakui langkah-langkah kesihatan dan keselamatan akan dipertingkatkan di premis kantin mengikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Luahan yang serupa oleh pemilik Restauran Kopicut 49, Chopie Cakap, yang mengakui pengumuman Uggah adalah berita gembira namun ia juga adalah ‘pintu masuk’ kepada fasa pembersihan sebelum rakyat berjaya memasuki norma kehidupan terdahulu.
“kita harus mengharungi satu lagi fasa iaitu bebas supaya kita boleh kembali kepada norma sebelum ini dan harus menitik beratkan 200 peratus untuk memastikan SOP ini dijalankan dengan sempurna dan baik,” katanya.
Katanya lagi dari sudut pandang rakyat awam pula, dirinya seperti orang lain yang berharap agar pandemik ini segera pulih dan pengumuman tempoh hari belum melegakan tetapi rakaman terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan terhadap ekonomi peniaga Bumiputera sepertinya.
“Saya menyarankan tidak sesuai lagi masa untuk kita makan-makan dikedai. Kekal bungkus, dan kekal gunakan rider-rider yang berdaftar untuk memesan makanan,
“Dan jika kes kita kembali kepada “sifar kematian dan yang positif” dalam masa 2 minggu berturut-turut dan dilabelkan sebagai kawasan hijau, maka saya bersetuju untuk restoran ataupun mana-mana sektor yang melibatkan orang awam berkumpul boleh dibuka dengan satu garis panduan di tetapkan,” ujarnya.
Sementara itu, pengumuman boleh mula beroperasi hari ini disifatkan oleh Dayang Angela Awang Kassim sebagai keprihatinan kerajaan untuk membantu golongan usahawan membangunkan ekonomi.
Dayang yang mengusahakan perkhidmatan berpantang Qhaula Azur Spa & Beauty mengakui sementara menanti pengumuman berkenaan pihaknya sudah bersiapsiaga untuk menjalankan perkhidmatan semasa pandemik ini.
“Kami menjadi lebih peka tentang keadaan isu covid19 dengan santizier,mask dan sentiasa memastikan sekitar kawasan tempat bekerja didlm keadaan bersih dan telah dinyah kuman,” ujarnya.
“Oleh itu saya berharap agar setiap pelanggan memberikan kerjasama dan memahami norma baharu agar kita penularan wabak berjaya di bendung,” tambahnya.