MIKAIL (kiri) dan Hakim bersama trofi Petinju Terbaik yang dimenangi oleh mereka.
SARAWAK mempamerkan aksi cemerlang dengan menggondol tiga pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa pada Kejohanan Muaythai Elit Senior dan Junior Peringkat Kebangsaan 2022 yang berlangsung di Kota Bahru baru-baru ini.
Kejohanan yang diadakan di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK) tersebut telah melabuhkan tirainya pada Ahad lalu dengan kelibat tiga atlet remaja dari Sarawak berjaya mencuri tumpuan penonton.
Tiga atlet remaja iaitu Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar daripada Kelab Muaythai Rentap Kuching, Muhammad Hakim Abdullah daripada Kelab Muaythai Sting Kuching dan Texas Jeremy Lo daripada Kelab Muaythai SS Fighter Kuching telah menyumbang pingat emas dalam kategori masing-masing.
Muhammad Mikail berjaya menumpaskan peserta tuan rumah, Muhammad Danial Hakim Asmadi dalam pertembungan final Remaja Lelaki 12-13 Tahun (35-40 kilogram) untuk meraih emas.
Emas kedua pula disumbang oleh Muhammad Hakim yang menumpaskan peserta Kuala Lumpur, Muhammad Fariz Ukasyah dalam kategori Remaja Lelaki 11-12 Tahun (25-30 kilogram).
Manakala Texas pula berjaya menyingkirkan rakan senegeri, Muhammad Syamiel Saufi dalam kategori Remaja Lelaki 12-13 Tahun (40-45kg).
Sementara itu, dua lagi perak disumbangkan Damien Casey Daniel (Kelab D30 Miri) yang tewas kepada atlet Melaka, Wan Muhammad Iffat (Remaja 8-9 Tahun, 25-30kg) dan Khairul Aiman Muzaffar Agus (Kelab PS Muaythai Bintulu) yang kalah kepada pesaing Selangor, Hasril Nazmi (Lelaki Senior 16-40 Tahun, Competitive -B 54-57kg).
Tiga pingat gangsa pula disumbangkan Aqeed Fiqrie Omar (Senior 16-40 tahun, Kelab PS Muaythai Bintulu), Nur Arifah Mahsunah Baharom (Senior 16-40 tahun, Kelab Muaythai Phoenix Meranek Samarahan) dan Nur Azirah Mohamad Yudi (Senior 16-40 tahun, Kelab Muaythai Sting Kuching).
Dalam pada itu, Mikail dan Hakim pula berjaya menggondol bonus tambahan apabila turut dinobatkan Petinju Terbaik kejohanan dalam kategori masing-masing.
Pada kejohanan kali ini, kontinjen muaythai Sarawak mempertaruhkan seramai 13 atlet.
Atlet lain adalah Jordan Bokoet Herman (Bau Muaythai Club), Mohd Hairol Salmi (Kelab Muaythai Sting Kuching), Dylan Casey Daniel (Kelab D30 Miri) dan Ayu Addyqa Azmi (Muaythai Kenyalang Kuching).
Mereka diiringi jurulatih Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Mohd Azan Putra; jurulatih Pusat Pembangunan Muaythai Samarahan, Roslan Jahani; Pusat Pembangunan Muaythai Kuching, Zulkeplie Abdul Rahman; wakil PMNS Norizan Ibrahim dan Ali Mos dan Pegawai Pembangunan Sukan SSC, Alexander Sirai.
Oleh SYAMIMI HUSNA