PERDANA Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Sabtu lalu. • Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 bagi membolehkan pihak DBP mengambil tindakan terhadap mana-mana pelanggaran Bahasa Melayu termasuk di peringkat daerah.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Akta DBP yang ada ketika ini tidak memberi kuasa kepada agensi kerajaan itu untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan bahasa.
“Kalau di bawah Majlis Daerah, (ada pihak) guna papan tanda dalam bahasa lain, undang-undang kecil KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) tidak mampu mengambil tindakan.
“Akta DBP akan diperkasa dengan DBP diberikan kuasa penguatkuasaan. Sebagai contoh, penggunaan Bahasa Melayu di papan-papan tanda, DBP boleh mengambil tindakan terhadap penyalahgunaan kuasa (yang berkaitan hal penggunaan bahasa),” katanya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang berakhir Sabtu lalu.
Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden UMNO berkata, bagi terus memartabatkan Bahasa Melayu, semua pelajar asing di negara ini wajib mempelajarinya dan perkara itu dipersetujui Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad.
Beliau berkata, pekeliling juga telah dikeluarkan kepada agensi, kementerian dan Syarikat Berkaitan Kerajaan untuk menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap program.
Katanya UMNO mesti menjuarai usaha memartabatkan Bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Fasal 3.5 Perlembagaan UMNO.
“Sudah tiba masanya kita perlu bangga dengan Bahasa Melayu. Justeru, tidak ada sebab untuk kita berasa janggal berbahasa Melayu walaupun di pentas antarabangsa kerana ‘Bahasa Jiwa Bangsa’,” kata Ismail Sabri.
Memberi contoh semasa lawatannya ke Kemboja dan Thailand bulan lepas, Ismail Sabri berkata beliau menggunakan Bahasa Melayu semasa sidang media bersama pemimpin kedua-dua negara dan akan berbuat demikian pada lawatan ke Vietnam esok.
“Tiada sebab kenapa kita tak boleh guna bahasa ibunda kita sendiri. Itulah pertama kali pemimpin kita cakap Bahasa Melayu dalam pertemuan dua hala dan sidang media di kedua-dua negara itu,” katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau bercita-cita mahu menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN memandangkan lebih 300 juta penduduk di rantau itu menggunakannya sebagai bahasa pertuturan sekali gus menjadikan ia bahasa ketujuh jumlah penutur teramai di dunia. – Bernama