TIDAK GENTAR… Barisan muda PC United sedia menghadapi cabaran juara bertahan Merpati Team, petang ini.
PERTEMBUNGAN antara juara bertahan, Merpati Team dan PC United petang ini bakal menjadi tumpuan dalam perlawanan Liga Sri Aman kerana ia membabitkan pertembungan antara pendahulu liga dan pasukan di tangga kedua Kumpulan A.
Bagi Pengurus pasukan PC United, Wan Mohd Mirzan Wan Hanafi mengakui perlawanan menentang skuad kendalian Sulaiman Idi itu merupakan satu cabaran, dan beliau menasihatkan para pemainnya supaya tidak terlalu menghormati Merpati Team sebagai juara tiga kali berturut-turut saingan Liga Sri Aman sebelum ini.
“Memanglah Merpati Team mempunyai pelbagai kelebihan, namun, saya ingatkan anak buah supaya jangan gentar dan yakin dengan diri sendiri apabila ‘pegang bola’ nanti. Kita juga ada kemampuan sendiri,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.
Wan Mohd Mirzan turut menganggap pertembungan menentang Merpati Team petang ini sebagai perhitungan sebenar buat anak-anak buah ketua jurlatih, Jaffary Hamdan dan enggan pungutan tiga mata terlepas dalam perebutan tempat teratas Kumpulan A.
Dalam saingan Liga Sri Aman amnya, peluang semua pasukan sebenarnya adalah terbuka dan saya rasa kami tidak perlu rasa gentar dengan mana-mana pasukan yang akan ditemui terutama Merpati Team.
“Saya harapkan barisan pemain yang dikendalikan oleh Jaffary yang diturunkan petang nanti dapat menyaingi kekuatan pemain lawan selain menuntut jentera tengah lebih kreatif mencipta gerakan manakala barisan penyerang dapat memanfaatkan peluang dengan jaringan,” ujarnya.
Wan Mohd Mirzan menjelaskan anak-anak buah Jaffary sudah tidak sabar untuk memulakan aksi, namun beliau telah berpesan kepada mereka agar mengikut ‘game plan’ yang telah ditunjukkan oleh barisan kejurulatihan, walaupun pasukan sudahpun melayakkan diri ke pusingan separuh akhir.
Terdahulu, pada perlawanan peringkat Kumpulan A pagi Sabtu lalu, PC United berjaya membenam kemaraan Azam FC dengan jaringan besar 5-0.
Dalam pada itu bagi peringkat Kumpulan B pula, skuad Englant FC turut melayakkan diri ke pusingan separuh akhir dalam aksi pagi semalam apabila menewaskan The Cops 3-0.
Selain itu, Rimong Croc United bangkit daripada kekalahan petang Sabtu lalu, apabila berjaya menemui sentuhan kemenangan selepas menewaskan Japsa FC 6-2.
Oleh ADI SAFARMAN