LADANG… Nur Wahidah Hambali ketika berada di ladang tanaman Rock Melon yang diusahakan oleh beliau
dan keluarga.
Tembikai wangi atau rock melon (Cucumis melo L.) ialah sejenis tanaman jenis tembikai dari keluarga Cucurbitaceae merupakan salah satu tanaman yang sangat terkenal di Malaysia.
Buah rock melon yang digemari kerana rasanya yang manis serta sedap dan boleh dimakan segar atau dibuat jus minuman dan sebagainya dapat ditanam dengan menggunakan kaedah penanaman secara moden dengan sistem fertigasi di bawah struktur pelindung hujan atau sistem terbuka.
Dengan peredaran zaman dan penggunaan teknologi yang semakin meluas, penanaman buah ini yang dahulunya diusahakan di atas tanah namun, kini ramai petani lebih berminat untuk menanam rock melon menerusi sistem fertigasi.
Mulai mengusahakan penanaman rock melon secara komersial sejak tahun 2004 hingga kini, Nur Wahidah Hambali, 42 membuka mata ramai usahawan untuk beralih menggunakan kaedah penanaman fertigasi yang ternyata lebih mudah berbanding penanaman secara tradisional.
KAEDAH TANAMAN
Berkongsi dengan pemberita mengenai cara dan kaedah penanaman, Wahidah berkata beliau yang mengusahakan tanaman rock melon dengan bantuan suami dan anak-anak berkata beliau menggunakan tiga kaedah penanaman.
“Kaedah yang pertama ialah penanaman secara fertigasi yang menggunakan autopot dan polibag, penanaman atas tanah menggunakan sistem fertigasi dan kaedah yang ketiga iaitu penanaman secara hidroponik.
“Bagi teknik penjagaan pula, saya fokus kepada penjagaan secara kawalan organik dan bebas racun kimia.
“Melalui kaedah penjagaan ini, saya meminimumkan penggunaan baja kimia bagi meningkatkan kualiti buah yang premium dan selamat untuk dimakan memandangkan ia juga dijual kepada orang ramai,” jelasnya.
Beliau yang juga Pengasas baja dan kawalan serangga organik iaitu Produk Sri Organik berkata jumlah keseluruhan rock melon yang ditanam sudah mencecah 10,000 pohon.
KHASIAT BUAH ROCK MELON
Wahidah yang bekerja sebagai jurulatih tetap dalam bidang pertanian lestari untuk beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian Malaysia, Felcra Training Centre dan beberapa agensi swasta yang lain mendedahkan buah rock melon mempunyai pelbagai khasiat selain digemari kerana rasanya yang enak.
“Buah rock melon ini memberikan pelbagai khasiat di mana ia dapat membekalkan sumber antioksidan yang sangat baik seperti vitamin C dan A yang membantu mengurangkan risiko kanser, katarak, serta menguatkan sistem imun badan.
“Selain itu, ia juga rendah gula dan kalori di mana satu hidangan 100 gram (g) rock melon hanya mengandungi 5.7g gula, 0.1g lemak, dan 29 kalori.
“Di samping itu, kandungan zeaxanthin yang terdapat di dalamnya mampu untuk untuk melindungi kulit dan mata dari sinaran ultraungu (UV). Ia juga mengandungi kandungan kalium (potassium) yang tinggi di mana kalium ialah mineral yang penting dan diperlukan oleh badan untuk berfungsi dengan baik,” jelasnya yang mendedahkan sedikit mengenai khasiat dalam buah kegemaran rakyat Malaysia tersebut.
CABARAN
Berkesempatan untuk berkongsi mengenai kerjaya beliau, ibu kepada lapan orang anak yang berumur dalam lingkungan tiga hingga 24 tahun tersebut berkata anggaran kos yang digunakan untuk memulakan pengusahaan tanaman tersebut juga tidak terlalu tinggi.
Jelasnya, untuk 500 pokok anggaran kos yang digunakan ialah RM20 hingga RM25 per pokok untuk harga semasa.
Katanya, kini beliau mampu menjual hasil tanaman rock melon ke seluruh Malaysia dan golongan yang paling ramai membeli buah ini ialah pemborong dan juga pengguna akhir.
Menjelas lanjut mengenai cabaran yang dihadapi, Wahidah berkata beliau berhadapan dengan penyakit tumbuhan seperti Kulapuk Downy yang boleh merosakkan tanaman antara 50 hingga 80 peratus.
“Selain itu, saya juga berhadapan dengan cabaran perosak seperti Trips dan White Fly selain berhadapan dengan harga yang rendah jika pengeluaran berlebihan.
“Sekiranya permintaan tinggi pada satu-satu masa, kami juga berhadapan dengan kesukaran apabila pengeluaran buah tidak terlalu banyak dan keadaan cuaca yang tidak menentu juga memberi kesan kepada penghasilan buah,” ujarnya yang juga merupakan perunding untuk beberapa projek tanaman seluruh negara terutama padi dan rock melon.
Oleh RYNNA SHA’ERRA