TINJAUAN… Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid (kanan) membuat tinjauan harga barang selepas Perasmian Bazar Ramadan 2022 di Lulu Hypermarket Pusat Beli-Belah Setia City, semalam. • Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan bahan mentah khususnya beras, gandum minyak dan telur ayam mencukupi menjelang Ramadan serta sambutan Aidilfitri Mei ini.
Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata susulan itu pihaknya akan terus mengadakan libat urus dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam memastikan bekalan bahan-bahan mentah mencukupi.
“Bagi bekalan bahan mentah, kita mengadakan libat urus dengan MAFI, terutama berkaitan bekalan makanan utama antaranya beras, gandum minyak dan telur ayam. Insya-Allah rakyat tidak perlu bimbang, ia mencukupi menjelang puasa dan hari raya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Bazar Ramadan 2022 @Lulu Hypermarket di sini, semalam.
Mengulas berhubung kenaikan makanan berasaskan ayam menjelang Ramadan ini, beliau mengaku bahawa ia berlaku susulan kenaikan makanan ternakan serta baja yang berpunca daripada Covid-19, banjir, kadar pertukaran mata wang serta peperangan.
“Perkara itu sedikit sebanyak menjejaskan (makanan berasaskan ayam) tapi pihak kita akan berterusan memantau harga dan juga keberadaan barang dalam pasaran,” katanya.
Terdahulu Rosol berkata Bazar Ramadan 2022 @ Lulu Hypermarket yang bermula hari ini sehingga 4 Mei depan yang dianjurkan Lulu Group Retail Sdn Bhd adalah bertujuan memberi pilihan barangan dengan potongan harga yang murah sehingga 50 peratus kepada rakyat khususnya ketika menjelang Ramadan dan Aidilfitri dan mengharapkan langkah itu turut diikuti oleh pasaraya lain. – Bernama