SESI SOAL JAWAB… Menteri Kanan Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya Dato Sri Fadillah Yusof bercakap pada sesi menjawab perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen,semalam. • Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Cadangan pelaksanaan projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB) dan fasa kedua projek Rangkaian Jalan Sarawak-Sabah (SSLR) telah diluluskan secara prinsip.
Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, perkara tersebut adalah susulan daripada perbincangan semasa Mesyuarat Kabinet pada 4 Mac lepas.
“Setelah keputusan ini dimuktamadkan nanti, projek-projek tersebut akan dimulakan secepat mungkin,’’ katanya semasa sesi Penggulungan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Isnin.
Tambah Dato Sri Fadillah, kerajaan akan menanggung kos lebih kurang RM10 bilion untuk keseluruhan projek SSLR dan LTB.
Katanya, cadangan pelaksanaan fasa kedua projek SSLR akan melibatkan tiga pakej di mana pakej 1 dianggarkan sepanjang 137 kilometer (km), pakej 2 sepanjang 98 km dan pakej 3 sepanjang 91 km.
“Manakala, cadangan pembinaan LTB pula melibatkan tiga seksyen dengan jumlah keseluruhan jajaran sepanjang 96.35 km.
“Seksyen-seksyen tersebut ialah seksyen Miri sepanjang 4.95 km, seksyen Limbang sepanjang 57.3 km, serta seksyen Lawas sepanjang 34.1 km,’’ tambah beliau.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu menjelaskan, pelaksanaan kedua-dua projek ini bukan sahaja akan menambah baik jaringan jalan raya di Sarawak serta melengkapkan jaringan jalan raya ke Sabah dan Brunei Darussalam.
Malah katanya, ia juga bakal mewujudkan peluang pekerjaan, memangkin pembangunan sosioekonomi, serta menyediakan laluan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan selamat bagi penduduk Sarawak khususnya.
Dalam perkembangan lain, Dato Sri Fadillah menjelaskan, Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang menyusun strategi pembangunan rangkaian jalan raya terkini susulan pengesahan pemindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara.
“Salah satu projek yang telah dikenal pasti ialah projek Lebuhraya Trans Borneo Jajaran Kalabakan–Serudung yang merupakan sebahagian daripada LTB.
“Cadangan projek tersebut akan diteliti oleh pihak kementerian dan dipertimbangkan untuk dibawa ke dalam Rolling Plan yang akan datang tertakluk kepada keutamaan projek serta ketersediaan siling peruntukan pembangunan di bawah KKR,’’ tegasnya. – UKAS