KETUA Eksekutif Brighton, Paul Barber mendedahkan pemain ketiga di kelab Liga Perdana Inggeris itu telah diuji positif Covid-19 sekali gus menimbulkan kebimbangan baru mengenai percubaan untuk menyelesaikan musim divisyen utama Inggeris semalam.
Pemain yang tidak disebutkan namanya diuji pada Sabtu dan akan mengasingkan diri selama 14 hari bagi dia pulih daripada virus.
Skuad Brighton yang lain akan terus berlatih di rumah dan dalam sesi solo di tempat latihan pasukan.
Dua pemain Brighton yang lain tidak disebutkan nama mereka telah dijangkiti virus itu beberapa minggu yang lalu dan dilaporkan telah pulih.
“Malangnya kami mempunyai pemain ketiga diuji positif semalam,” kata Barber kepada Sky Sports News.
“Walaupun dengan semua langkah yang telah kmai ambil selama beberapa minggu terakhir ketika para pemain belum pernah terlibat dalam latihan yang signifikan, kami masih mengalami pemain lain yang positif virus ini.
“Ada kebimbangan dan saya rasa adalah normal bagi semua kelab untuk mempunyai kebimbangan tersebut.
“Kami ingin memastikan bahawa kami melakukan segala yang kami dapat agar protokol yang disusun selamat dan terjamin dan mengurangkan risiko.” jelasnya.
Liga Perdana Inggeris mahu memulakan musim ini pada Jun dan menyelesaikan baki 92 perlawanan menjelang Ogos.
Barber telah mengkritik idea bermain di tempat bekecuali dengan menegaskan bahawa kempen masih harus dilangsungkan di tempat sendiri dan tempat lawan sebagai Brighton begelut untuk mengelak daripada tersingkir.
Norwich, Watford dan Aston Villa berada dalam zon penyingkiran ketika Liga Perdana Inggeris ditangguhkan kerana krisis kesihatan pada 13 Mac.
Aston Villa dan Watford telah bergabung dengan Brighton dalam menentang rancangan bermain di stadium berkecuali. – AFP