TUMPUAN… Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menjawab soalan daripada pengamal media pada Mesyuarat Penggal Petama Dewan Undang Negeri Sarawak kali ke-19 di DUN Kuching, semalam. • Foto HERRIEY NAHA
KUCHING: Pindaan perlembagaan untuk menamakan semula jawatan Ketua Menteri Sarawak sebagai “Premier” akan meletakkan Sarawak dalam perspektif yang betul.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang akan membentangkan Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata, ia merupakan RUU yang baik dan percaya ia juga kehendak rakyat Sarawak.
“Walaupun tiada perubahan signifikan di sini, ini hanya memperhalusi keadaan termasuk bagi jawatan Menteri Muda yang boleh menimbulkan kekeliruan.
“Jika kita mengambil contoh macam Menteri Muda, ia boleh menyebabkan banyak kekeliruan, apabila mereka pergi ke luar negara mereka dilayan seperti pembantu kepada Menteri sedangkan ia tidak sepatutnya.
“Jadi istilah yang sesuai untuk mereka adalah Timbalan Menteri supaya semua orang tahu perkara itu. Begitu juga dengan Ketua Menteri, saya rasa kita tidak mahu setanding dengan Pulau Pinang atau Melaka,” katanya selepas Majlis Angkat Sumpah di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.
Ketika ditanya mengenai terjemahan Bahasa Malaysia yang sesuai untuk ‘Premier’, Abdul Karim berkata, Dewan Bahasa dan Pustaka akan memberikan takrifan yang tepat mengenai terjemahan tersebut.
“Dewan Bahasa akan menjadi entiti yang lebih baik untuk mentakrifkan mengenainya.
“Tetapi, saya melihat istilah ‘premier’ sudah cukup baik sama ada untuk Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris. Jika Premier League kita oleh guna Liga Premier, kenapa kita tidak boleh?, saya fikir ia akan diterima dengan baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau percaya rakyat Sarawak akan menerima Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2022 yang akan dibentangkan hari ini (15 Februari).
“Setakat ini, saya tidak akan dapat membuat generalisasi atau melihat apakah jawapan penuh, tetapi mereka yang saya dapat lihat menghantar mesej kepada saya terutamanya daripada orang Sarawak mereka sangat gembira dengan RUU yang akan saya bentangkan esok (hari ini).
“Tetapi, saya menunggu sehingga esok (hari ini) untuk perbincangan penuh, jadi terlalu awal untuk saya mengulas rang undang-undang itu hari ini (semalam). Saya dapat lihat bahawa rakyat Sarawak faham dan mereka suka RUU dan perubahan itu,” katanya.
Tambahnya, RUU itu akan menjurus kepada pengendalian lebih autonomi yang diperjuangkan selama ini.
“Ya, perkara seperti ini yang kita perjuangkan selama ini, sebab kami ketika turun ke London adalah untuk mempelajari lebih lanjut mengenai IGC (Jawatankuasa Antara Kerajaan), Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan sebagainya. Ini hanyalah sebahagian daripada perkara kecil yang kita cuba dapatkan secara perlahan-lahan,” ujarnya.
Jelasnya, mengenai langkah sama ada langkah tersebut memberi tekanan kepada Putrajaya beliau berkata, tiada tekanan daripada kerajaan negeri.
“Kita hanya memperhalusi apa yang sepatutnya apabila membentuk Malaysia. Semasa pembentukan itu, terdapat lima penandatangan iaitu United Kingdom, Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak.
“Tetapi, selepas Malaysia dibentuk, dua entiti terakhir iaitu Sabah dan Sarawak nampaknya sudah cair dan menjadi seperti mana-mana negeri kecil yang berada dalam Persekutuan Tanah Melayu. Jadi sebab itu, kita kena letak perkara ini dalam perspektif yang betul,” katanya.