PEMAIN hebat Argentina, Juan Martin del Potro tewas dalam penampilan pertama dalam tempoh dua setengah tahun setelah pulih daripada kecederaan semalam apabila kalah ‘straight set’ kepada rakan senegara Federico Delbonis dalam Terbuka Argentina.
Dalam apa yang dijangka menjadi salah satu penampilan terakhir Del Potro sebelum bersara, bekas juara Terbuka AS berusia 33 tahun itu kelihatan diatasi dengan emosi apabila Delbonis menamatkan kemenangan 6-1, 6-3 dalam masa 1 jam 23 minit.
Del Potro mengesat air matanya ketika dia bersiap sedia untuk melakukan servis sekali gus bakal menjadi permainan terakhir buatnya.
Selepas Delbonis melengkapkan kemenangan, Del Potro memeluk lawannya di jaring sebelum melambai kepada orang ramai di gelanggang Guillermo Vilas Kelab Tenis Rumput Buenos Aires.
Hujung minggu lalu Del Potro memberi isyarat dia merancang untuk bersara tidak lama lagi selepas kejohanan minggu ini, menyifatkan kemunculannya semula sebagai lebih perpisahan daripada kepulangan.
Dia diberi tepukan gemuruh ketika berjalan di gelanggang oleh orang ramai yang sesak tetapi tidak dapat memperolehi apa yang akan menjadi kemenangan ‘dongeng’.
Selepas memulakan permainan pembukaan dengan mematahkan servis Delbonis, Del Potro dihalang oleh kekurangan mobilitinya selepas itu, dengan lawan mematahkan tiga servis bagi memenangi set pertama dalam masa 33 minit.
Del Potro memberikan tentangan yang lebih kuat dalam set kedua namun akhirnya ditewaskan oleh Delbonis.
Kekalahan semalam adalah kejohanan pertama disertai Del Potro sejak patah tempurung lututnya pada Jun 2019 di Queen’s di London.
Del Potro, yang menewaskan Roger Federer dalam final Terbuka AS 2009, berkata masalah lututnya telah menyebabkan dia mengalami mimpi ngeri dengan empat pembedahan menyaksikan ranking dunianya merosot kepada 757. – AFP