KUALA LUMPUR: Affin Banking Group telah bersetuju untuk memindahkan kepentingan di bawah kawalannya dalam Affin Hwang Asset Management Berhad (Affin Hwang AM) kepada CVC Capital Partners Asia Fund V.
Dalam satu kenyataan baru-baru ini, ia berkata, transaksi ini dijangka selesai menjelang suku ketiga 2022, tertakluk kepada syarat-syarat lazim penyempurnaan transaksi, termasuk kelulusan daripada pihak berkuasa kawal selia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, kemasukan CVC, sebuah syarikat ekuiti persendirian global terkemuka ke dalam firma pengurusan aset yang diasaskan dan dibangunkan di dalam negara itu sekali gus menunjukkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan sektor perkhidmatan kewangan dan ekonomi Malaysia secara keseluruhannya.
“Dengan lanjutan pengurusan Affin Hwang AM dan juga Nikko Asset Management (Nikko AM) sebagai pemegang saham institusi, kami percaya perniagaan Affin Hwang AM akan terus mencatatkan prestasi yang memberangsangkan pada masa depan.
“Kami yakin bahawa CVC, pengurusan Affin Hwang AM dan juga Nikko AM akan terus menyokong pertumbuhan Affin Hwang AM, serta memberikan komitmen kukuh dalam jangka panjang untuk menjana nilai bagi pelanggan dan membangunkan lagi keupayaan kakitangannya yang berbakat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kanan CVC, Alvin Lim berkata, pelaburan ini merupakan pelaburan keenamnya di Malaysia sejak 2007, dengan modal dilaburkan kini berjumlah lebih AS$1 bilion (AS$1=RM4.18).
“Kami terus meyakini kekuatan asas ekonomi negara ini dan berpendapat pelaburan ini adalah satu peluang penting bagi kami untuk menyumbang kepada pembangunan berterusan industri pengurusan aset dan pasaran modal Malaysia dan juga untuk menjadikan Malaysia sebuah hab pengurusan aset terkemuka di rantau ini.
“Kami bertekad menyokong pasukan pengurusan untuk mengukuhkan keupayaan pelaburan dan juga produk yang ditawarkan dan menceburi pasaran ASEAN lain, dengan memanfaatkan kepakaran dan rangkaian kami di seluruh rantau,” tambahnya.
Sejak diasaskan pada 2001, Affin Hwang AM telah berkembang maju untuk menjadi salah satu daripada firma pengurusan aset terkemuka di Malaysia dan setakat 31 Disember 2021, pengurus dana itu dan juga cabang pengurusan dana Islam milik penuhnya, AIIMAN Asset Management, secara tergabung mempunyai aset di bawah pengurusan bernilai RM81 bilion.
– Bernama