CAMEROON mara ke separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika selepas dua gol Karl Toko-Ekambi memberikan mereka kemenangan 2-0 ke atas Gambia.
Penyerang Lyon kelahiran Perancis itu meledak dua gol dalam tempoh lapan minit pada awal babak kedua, sekali gus menghentikan perjalanan epik Gambia pada penampilan pertama mereka di kejohanan itu.
“Mereka bertahan dan menyukarkan kami, penjaga gol mereka pula beraksi cemerlang di babak pertama tetapi kami bangkit di babak kedua, mendapatkan gol dan kini kami gembira dapat ke separuh akhir,” kata Toko-Ekambi.
Cameroon mara ke kelompok empat terakhir dan menanti pemenang antara Mesir dan Maghribi bagi meneruskan misi memburu gelaran benua keenam mereka, manakala Gambia mencatat sejarah baru mereka dengan mara ke suku akhir.
“Kami tewas hari ini menentang juara baharu Afrika. Kami harap dapat bangkit di kejohanan akan datang. Banyak yang kami pelajari dan akan menjadi lebih kuat pada masa akan datang,” kata pengendali Gambia Tom Saintfiet.
Dalam satu lagi aksi suku akhir, Dango Ouattara meledak gol tunggal permainan untuk Burkina Faso menewaskan Tunisia 1-0 di Garoua.
Ouattara bagaimanapun menerima padah apabila dibuang padang ketika permainan berbaki lapan minit kerana menyiku Ali Maaloul.
Ia adalah kemenangan ketiga Burkina Faso ke atas Tunisia di suku akhir selepas tahun 1998 dan 2017 dan akan bertemu pemenang antara Senegal dan Equatorial Guinea di Yaounde Rabu ini. – AFP