• Tarikan baharu pelancongan
KUALA PILAH: Keunikan Tokong Si Thian Kong yang tersergam indah di Kuala Pilah menjadi antara tarikan pelancongan di negeri ini dengan limpahan lampu neon dan LED berwarna-warni menaikkan semangat masyarakat Cina untuk menyambut Tahun Baharu Cina kali ini.
Rumah ibadat itu mempunyai nilai sejarah tersendiri merupakan lambang kebanggaan masyarakat Tionghua di sini lebih menarik menyaksikan panorama waktu malam menerusi limpahan lampu berwarna-warni menghiasi bangunan itu.
Cahaya berwarna-warni itu turut menyerlahkan hiasan patung harimau serta objek lain dan lebih 2,000 tanglung digantung di perkarangan tokong tersebut. Tahun Baru Cina 2022 adalah Tahun Harimau, (haiwan ketiga dalam kitaran 12 haiwan dalam zodiak Cina).
Pemangku Pengerusi Pertubuhan Penganut Dewa Si Thian Kong, Tee Kim Hai berkata, dahulunya rumah ibadat itu dikenali sebagai Tokong Sam Seng Keong terletak di pekan Kuala Pilah kemudian pihaknya membina tokong baharu di Lot PT 2157, 7 Kilometer Jalan Tampin Kuala Pilah, pada 2009.
“Tokong ini dibina di tanah seluas 4.8 hektar dikelilingi alam semula jadi, telah siap sepenuhnya pada 2015, kami mempunyai kira-kira 11 pekerja dan Tokong Sam Seng Keong yang berusia lebih 100 tahun telah lama ditutup.
“Kalau dilihat ukiran bangunan ini, semua idea adalah hasil perbincangan ahli dalam pertubuhan ini, kami tidak melantik mana-mana pereka dalaman, sebab itu kerja dekorasi pada tokong ini dibuat secara berperingkat. Kami juga sedang membina bangunan ruang pejabat untuk tokong ini,” katanya, kepada Bernama.
Beliau berkata, selain masyarakat Cina, bangsa lain turut mengunjungi tokong tersebut hampir setiap hujung minggu bagi mengambil gambar perkahwinan atau berswafoto di luar perkarangan tokong itu.
Katanya bersempena perayaan Tahun Baharu Cina kali ini, pihaknya menyasarkan 500 hingga 1,000 masyarakat Tionghua berkunjung ke tokong tersebut dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
— Bernama