JURULATIH Xavi Hernandez semalam berkata perlawanan separuh akhir Clasico dalam Piala Super Sepanyol minggu ini boleh menjadi titik perubahan bagi Barcelona ketika mereka cuba mengukuhkan diri di kalangan pasukan elit Eropah.
Barca kini ketinggalan 17 mata di belakang Real Madrid dalam La Liga Sepanyol dan tersingkir daripada Liga Juara-Juara UEFA dalam peringkat kumpulan musim ini, dengan hutang lebih satu bilion euro menyebabkan kemerosotan dramatik di kelab itu.
Madrid akan menjadi pilihan utama namun skuad muda Barcelona telah menunjukkan tanda-tanda kemajuan di bawah Xavi dan kemenangan mengejut pada akan memberikan misi pemulihan mereka satu rangsangan besar.
“Ia boleh menjadi titik perubahan,” kata Xavi dalam sidang akhbar di Riyadh, Arab Saudi, yang mana kejohanan minggu ini bakal diadakan.
“Memenangi Clasico akan meletakkan kami dalam final dan memberikan kredibiliti kepada projek itu. Kami mengalihkan tumpuan daripada liga untuk memberi tumpuan kepada pertandingan yang hebat. Ia adalah trofi.”
Madrid menewaskan Barca 2-1 di Camp Nou pada Oktober dan mereka berada dalam prestasi terbaik, hanya kalah sekali dalam 18 perlawanan terakhir mereka.
Xavi ditanya sama ada masa yang teruk untuk beraksi menentang pendahulu La Liga.
“Tidak, perlawanan datang apabila tiba masanya. Kami memerlukan masa, itu jelas, tetapi kami tidak boleh membuat alasan. Barca sentiasa perlu bersaing. Esok adalah peperiksaan,” kata Xavi.
“Saya tidak kisah jika orang fikir mereka adalah pilihan,” tambah Sergio Busquets. “Mari kita lihat apa yang berlaku di atas padang.”
Barcelona tidak tewas dalam enam perlawanan dan telah mendaki carta liga, kini hanya satu mata di luar kelompok empat pasukan teratas. Mereka juga mempunyai kumpulan anak muda yang menarik, dengan pemain-pemain seperti Gavi, Nico Gonzalez, Ferran Jutgla dan Alex Balde semuanya mengambil peluang untuk menarik perhatian musim ini.
“Saya telah berkhidmat selama hampir dua bulan dan saya optimis,” kata Xavi. “Kami telah cuba menyemai idea kami dan pemain memahaminya.”
Barcelona juga boleh dikatakan mempunyai skuad terkuat yang mereka miliki sepanjang musim pada hari Rabu selepas kembalinya beberapa pemain yang tidak hadir.
Ansu Fati, Frenkie de Jong dan Ronald Araujo semuanya boleh dipilih semula selepas kecederaan manakala Ferran Torres dan Pedri kedua-duanya didapati negatif Covid-19 lewat Isnin, bermakna mereka dapat menyertai skuad untuk latihan nanti.
Barcelona akhirnya dapat mendaftarkan Torres, yang menyertai mereka dua minggu lalu dari Manchester City, selepas sambungan kontrak Samuel Umtiti membebaskan ruang dalam bajet La Liga kelab itu.
“Ansu, Frenkie, Pedri, Ferran dan Araujo akan menjadi orang penting untuk hari esok, tetapi juga untuk masa depan. Saya gembira untuk mendapatkan kembali pemain ini,” kata Xavi, walaupun pemain yang kembali tidak mungkin menjadi penentu perlawanan.
“Ferran Torres dan Pedri belum berlatih dengan kumpulan itu,” tambah Xavi.
“Dengan Ansu kita juga akan lihat. Mereka akan bermain, tetapi masih ada lima bulan saingan lagi. Kami akan menjadi lebih bijak.”
Pemenang perlawanan Barcelona dan Real Madrid akan menentang sama ada Atletico Madrid atau Athletic Bilbao yang bermain esok.
Jurulatih Madrid, Carlo Ancelotti menegaskan pasukannya tidak akan mengambil mudah kejohanan ini.
“Dalam perlawanan itu apa sahaja boleh berlaku.
“Kami tahu mereka menghadapi lebih banyak masalah daripada kami tetapi ia adalah satu perlawanan, dengan dua pasukan yang mempunyai matlamat yang sama untuk mara ke final,” katanya. – AFP