SELEPAS dua musim menyepi, saingan Piala Presiden dan Piala Belia 2022 kini kembali beraksi bermula pada 23 Februari ini.
Pada sesi undian bagi saingan Piala Presiden 2022 yang dijalankan semalam, Sarawak United FC dan Kuching City FC diundi bersama dalam Kumpulan C bersama pasukan UITM FC, Kuala Lumpur City, Sri Pahang FC, dan Sabah FC.
Manakala Kumpulan A dianggotai oleh pasukan Perak FC, Penang FC, Kelantan United FC, Perlis United FC, Kelantan FC, Kedah Darul Aman FC dan Akademi Mokhtar Dahari.
Kumpulan B pula iaitu Melaka United FC, Negeri Sembilan FC, Johor Darul Takzim lll, Terengganu FC IIl, PJ City FC, Selangor FC dan PDRM FC.
Bagi saingan Piala Belia 2022, skuad Sarawak United dan Kuching City FC juga diletakkan Kumpulan C bersama PJ City FC, PDRM FC, Sri Pahang FC dan Sabah FC.
Kumpulan A iaitu Perlis United FC, Kedah Darul Aman FC, Perak FC, Penang FC, Kelantan United FC, Kelantan FC dan Terengganu FC IV.
Kumpulan B iaitu Melaka United FC, Johor Darul Takzim lV, Negeri Sembilan FC, Akademi Mokhtar Dahari, Selangor FC, UITM FC dan Kuala Lumpur City.
Majlis undian tersebut berlangsung pada penutup Taklimat Pasukan Piala Presiden dan Piala Belia 2022 selama dua hari bermula pagi semalam yang dirasmikan oleh Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed selaku Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Bagi kedua-dua pertandingan ini, 20 pasukan dibahagi kepada tiga kumpulan iaitu Kumpulan A (Zon Utara) dianggotai tujuh pasukan dari Zon Utara dan Timur, Kumpulan B (Zon Selatan) dengan tujuh pasukan dari Zon Selatan, Timur dan Tengah manakala Kumpulan C (Zon Tengah) dengan enam pasukan dari Zon Tengah, Timur dan Borneo.
Saingan peringkat kumpulan akan berlangsung secara home dan away dari 23 Februari hingga 13 Julai 2022 bagi Piala Belia dan dari 24 Februari hingga 14 Julai 2022 bagi Piala Presiden dengan lapan pasukan terbaik iaitu dua pasukan teratas setiap kumpulan dan dua pasukan tempat ketiga terbaik kumpulan akan layak ke suku Akhir.
Undian untuk menentukan susunan kedudukan pasukan bagi perlawanan peringkat kalah mati bagi kedua-dua pertandingan turut diadakan dengan saingan peringkat kalah mati, suku akhir, separuh akhir dan Final akan dijalankan secara home dan away bermula 24 Julai hingga 11 September 2022.
Wakil setiap pasukan bertanding terdiri daripada pengurus dan koordinator pasukan telah diberikan taklimat berkaitan kalendar dan peraturan pertandingan, undang-undang permainan, sistem pendaftaran pemain dan pegawai, pemasaran, media, tatatertib dan status pemain serta perubatan.
Oleh ADI SAFARMAN