KUCHING: Pemindaan Perlembagaan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi mewujudkan sayap baharu buat golongan belia berumur 18 hingga 28 tahun, sudah pastinya akan membawa kepada dinamik politik yang lebih progresif dalam parti.
Ketua Pergerakan Wanita PBB, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penyertaan golongan itu boleh membantu dalam menerajui perubahan dan memulakan dasar baharu untuk kebaikan belia, parti dan negeri.
“Kami (Pergerakan Wanita PBB) mengalu-alukan pembentukan sayap baharu itu untuk menempatkan golongan berusia 18 hingga 28 tahun yang keperluan dan minat mereka mungkin tidak sama dengan golongan yang lebih berumur,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Fatimah berkata, cadangan pembentukan sayap baharu ini juga selari dengan dasar Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menitikberatkan inklusiviti merangkumi kedua-dua gender yang berusia 18 hingga 28 tahun.
“Menyedari kepentingan untuk menarik penyertaan belia dalam Pergerakan Wanita parti itu, pihaknya telah menubuhkan Kumpulan Beliawanis seawal 2019, di beberapa cawangan PBB.
“Bengkel untuk mendengar pendapat, luahan hati belia, diikuti pendedahan kepada pelbagai aktiviti sosial, (tidak semestinya politik) telah memberi ruang dan peluang kepada golongan belia untuk terlibat secara langsung merancang dan mengelola aktiviti untuk masyarakat setempat.
“Strategi mentor – mentee antara beliawanis dan ketua wanita cawangan digunakan bagi membina upaya dan memperkasa beliawanis,” ujarnya.
Semasa pandemik Covid-19, beliau berkata, di beberapa cawangan PBB, beliawanis juga dilibatkan dalam tugas pengagihan bantuan makanan kepada kumpulan sasar.
“Semasa pilihan raya negeri baru-baru ini, ada antara mereka telah membantu dalam program jangkauan luar (reachout) kepada pengundi melalui platform sosial media,” katanya.
Pada 9 Januari, Ketua Menteri Sarawak yang juga Presiden PBB berkata, parti akan meminda Perlembagaannya bagi mewujudkan sayap baharu buat golongan belia berumur 18 hingga 28 tahun.
Abang Johari berkata, penubuhan sayap itu dibuat bagi memberi peluang kepada golongan tersebut untuk bersama-sama berkhidmat untuk kesejahteraan negeri Sarawak.
Menurut Abang Johari, pindaan Perlembagaan parti itu akan dilakukan pada Mesyuarat Agung Tritahunan (TGM) parti yang dijadual diadakan Jun depan bagi membolehkan penubuhan sayap baharu itu nanti.
Oleh JEAKQLEYN YACHO