PEMAIN pertahanan dari Jerman, Thilo Kehrer menyelamatkan keputusan seri 1-1 untuk Paris Saint-Germain menentang Lyon yang bergelut dengan jaringan penyamaan 14 minit sebelum tamat dalam aksi Ligue 1 Perancis semalam.
Paris SG sudah pun mendahului 11 mata yang kelihatan sukar diatasi ke atas Nice yang berada di tempat kedua, tetapi bertandang ke Lyon tanpa pemain Argentina, Lionel Messi selepas dia pulih daripada Covid-19 dan Neymar, yang sedang menerima rawatan kecederaan di Brazil.
Lucas Paqueta, kembali selepas dijangkiti Covid, membuka jaringan untuk Lyon selepas tujuh minit.
Kehrer, yang menjaringkan gol terakhirnya pada Februari 2020, menyaksikan rembatan jinaknya melencong melepasi Anthony Lopes di gawang Lyon.
Jurulatih Paris SG, Mauricio Pochettino memuji pasukan sementaranya yang turut kehilangan penjaga gol Gianluigi Donnarumma, pemain pertahanan Juan Bernat dan pemain tengah Danilo Pereira, Julian Draxler dan Angel Di Maria, yang kesemuanya telah disahkan positif Covid-19.
“Perubahan kami bertujuan untuk membawa kesegaran,” kata jurulatih itu.
“Kami gembira kerana pemian gantian itu membawa keghairahan yang kami perlukan. Xavi (Simons), Edouard dan Thilo semuanya merupakan sebahagian daripada mereka yang membina gol penyamaan.”
Pochettino menambah: “Ia adalah tempat yang sukar, tetapi kami perlu berpuas hati.
“Sukar untuk bercakap tentang perkembangan, terutamanya dalam keadaan semasa dengan Covid-19 yang menjadikan keadaan tidak stabil.”
Dalam perlawanan awal semalam, Nice merampas semula tempat kedua dengan kemenangan 3-0 di Brest, walaupun bermain majoriti perlawanan dengan 10 pemain.
Pasukan Christophe Galtier kembali ke atas Marseille, yang menang di Bordeaux pada hari Jumaat, menerusi perbezaan gol.
Kasper Dolberg memberikan kelebihan kepada pelawat pada minit ke-13, tetapi Morgan Schneiderlin dilayangkan kad merah kerana terjahan ke atas Christophe Herelle hanya tujuh minit kemudian.
Nice meledak lagi ketika perlawanan berbaki 11 minit, ketika Amine Gouiri membuka ruang untuk Andy Delort. Gouiri menambah lagi seri dalam masa kecederaan dengan gol kesembilannya dalam liga musim ini untuk menjadikan kedudukan 3-0. – AFP