NAIB juara Liga Premier 2021, Sarawak United FC kini sedang memburu khidmat dua pemain import asing bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini selepas berjaya mendapatkan khidmat enam pemain import tempatan sebelum ini.
Ia adalah disebabkan dua pemain import mereka musim lepas, Sandro Da Silva dan Taylor Regan hampir pasti dilepaskan, dan menurut sumber dalaman, kedua-dua pemain terbabit sudahpun balik ke negara masing-masing.
Spekulasi bertiup kencang apabila pasukan kendalian E Elavarasan itu dikaitkan dengan seorang pemain tengah skuad kebangsaan Singapura iaitu Adam Swandi.
Adam yang berusia 25 tahun merupakan pemain Lion City Sailors, kelab yang menjuarai Liga Premier Singapura 2021, beliau menyertai kelab tersebut dari tahun 2019 hingga 2021 dimana beliau membuat 34 penampilan.
Selain itu, Adam juga pernah beraksi bersama beberapa kelab lain di Singapura seperti Albirex Niigata Singapore FC (2018), Home United (2017) dan Young Lions (2015-2016).
Adam turut mempunyai caps bersama skuad kebangsaan Singapura, yang mana beliau membuat 12 penampilan sejak tahun 2013 lalu, menurut laporan di Wikipedia.
Dalam pada itu, dua import asing iaitu Uche Agba dan Lee Chang Hoon masih menjadi sandaran utama apabila kekal bersama Sarawak United musim ini.
Namun, status seorang lagi pemain import luar negara belum dapat dipastikan lagi, dan masih lagi menunggu pengumuman rasmi daripada Sarawak United FC dalam masa terdekat.
Terdahulu, Pengerusi Sarawak United FC, Datuk Posa Majais dalam sidang media semasa memperkenalkan enam pemain baharu Ahad lalu berkata tiada pemain import baharu akan dibawa masuk, sebaliknya hanya mengekalkan beberapa pemain sedia ada pada musim lepas.
“Bagi menghadapi Liga Super musim 2022, kita tidak bercadang untuk mengambil pemain import baharu bagi menggantikan pemain sedia ada, kita akan kekalkan,” ujarnya.
Bagaimanapun, Posa terpaksa akur dengan keputusan beberapa pemain lain yang telah berhijrah ke pasukan lain dan menyifatkan ia peluang untuk mereka mengembangkan lagi karier sebagai pemain bola sepak profesional.
“Beberapa pemain telah berhijrah ke pasukan lain dan kita akur dengan keputusan itu,” tegasnya.
Pada musim lalu , Sarawak United FC menamatkan saingan Liga Perdana selaku naib juara sekaligus mencapai sasaran Ketua Jurulatih, E Elavarasan untuk layak ke Liga Super musim ini dan beraksi pada Piala Malaysia edisi lepas.
Oleh ADI SAFARMAN