SARAWAK mempunyai pemain dan jurulatih yang berkualiti dan berkemahiran tinggi dalam sukan bola sepak di negeri ini.
Pengarah Teknikal Sarawak United FC, B. Sathianathan mengakui Sarawak mempunyai ramai pemain berkaliber dan berpotensi serta berkemampuan untuk menyerlah dalam liga profesional jika bakat mereka digilap serta diberi peluang menyarung jersi negeri.
“Saya terkejut dengan cara pasukan Sri Aman bermain kerana mereka memiliki satu permainan serta idea mereka jurulatih yang bagus.
“Saya biasa banyak tengok liga di negara kita ini, ada yang sepak bola dari gol terus ke penyerang, tapi Sri Aman mengamalkan bola sepak daripada belakang (modern football), ini adalah satu petanda yang positif kepada perubahan landskap perubahan bola sepak negeri ini,” katanya.
Sathianathan berkata walaupun jurulatih seperti yang beliau ketahui memiliki lesen C kejurulatihan, namun cara pemikiran dan cara beliau melihat permainan pasukan itu seolah-olah beliau memiliki lesen A.
“Jadi kita nampak daripada jurulatih, itulah saya kata pertandingan ini bukan hanya memberi kebaikan untuk pemain, tetapi untuk jurulatih, pengadil dan sebagainya. So, inilah revolusi bola sepak…,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan ilmu kejurulatihan bola sepak merupakan satu elemen penting untuk meningkatkan tahap kejurulatihan bola sepak di negeri Sarawak.
Melalui ilmu kejurulatihan terkini, mutu permainan pemain tempatan juga akan meningkat seiring dengan perubahan corak permainan bola sepak hari ini.
Terdahulu, pasukan Sri Aman FA menamatkan penantian selama 30 tahun apabila menjuarai Liga SSC-FAS 2021 selepas menumpaskan Samarahan FA 1-0 pada aksi perlawanan akhir di Bintulu, baru-baru ini.
Oleh ADI SAFARMAN