KUALA LUMPUR: Pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dijangka kembali meningkat pada tahun depan di Malaysia dan Indonesia, menurut OCBC Treasury Research.
Dengan stok sawit Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kembali melebihi dua juta tan metrik pada suku ketiga 2022, ini bermakna harga dijangka terus mendapat sokongan sehingga separuh pertama 2022, katanya dalam Prospek Komoditi 2022.
“Selain itu, jangkaan kami harga kacang soya lebih tinggi bermakna kompleks sawit turut dijangka meningkat,” menurut firma penyelidikan itu.
OCBC mengunjurkan harga minyak sawit pada RM4,750 satu tan metrik pada tahun depan.
Bagi kacang soya, firma penyelidikan itu berkata risiko kekal cenderung kepada peningkatan.
“Pada pendapat kami, permintaan China untuk kacang soya kekal rancak melalui krisis kuasanya dan mungkin meningkat lagi pada 2022 berikutan stok babi yang semakin pulih,” katanya.
Sementara itu katanya, pemulihan ekonomi yang berterusan dan bekalan yang terhad dijangka terus memacu minyak mentah lebih tinggi pada tahun depan.
Katanya pertumbuhan penggunaan dijangka dari Asia pada tahun depan, dengan banyak negara-negara Asia tidak membuka semula ekonomi mereka sepenuhnya selepas Covid-19.
“Permintaan terhadap minyak yang meningkat dari beberapa negara Asia pada masa yang sama, selain ketidaktentuan bekalan dari Amerika Syarikat serta Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+), dijangka menyaksikan Brent menguji AS$100 setong buat kali pertama sejak ledakan syal,” menurut firma penyelidikan itu.
Bagi emas, kebanyakan bank pusat kini menyenaraikan tekanan inflasi yang berkurangan sebagai antara keutamaan teras mereka pada 2022, bermakna persekitaran kadar faedah global dijangka diperkukuh pada agregat tahun depan.
“Kenaikan kadar yang agresif dijangka mengatasi permintaan terhadap emas sebagai lindung nilai inflasi, menyebabkan kesan penurunan bersih ke atas emas,” katanya.- Bernama