KUALA LUMPUR: Lapan rumah di tingkat empat Blok 31 Perumahan Awam Sri Johor, Cheras di sini terlibat dalam kebakaran malam semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, kebakaran berlaku pada kira-kira 9.20 malam dan operasi pemadaman sedang dijalankan.
Menurutnya kebakaran dipercayai bermula di bahagian tengah blok berkenaan sebelum merebak di keseluruhan tingkat.
“Setakat ini, bomba masih menyiasat sama ada kejadian melibatkan kemalangan jiwa. Kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran gas,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim.
Menurut jurucakap bomba, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan melibatkan penghuni lapan unit kediaman tersebut.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 9.17 malam dan seramai 35 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu, BBP Hang Tuah, BBP Sri Hartamas, BBP Keramat dan BBP Cheras digegaskan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran memusnahkan 100 peratus keseluruhan tingkat empat itu. Operasi pemadaman menggunakan teknik ‘water tower’ jentera khas Aerial Ladder Platform (ALP) dan Turn Table Ladder (TTL),” katanya.
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada kira-kira 11.30 malam.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim turut melawat lokasi kebakaran itu.
— Bernama