MARUDI : Calon penyandang kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi Datu Dr Penguang Manggil menyangkal dakwaan yang beliau melarang penduduk rumah panjang supaya tidak menerima kehadiran calon pembangkang sekitar Beluru dan Bakong.
Beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah liar yang dicipta semata-mata untuk memburukkan nama beliau.
“Kita mengamalkan demokrasi dan bebas untuk bergerak ke mana sahaja dan saya tidak menghalang mana-mana calon untuk ke rumah panjang. Terpulang kepada penduduk rumah panjang itu sendiri sama ada mereka mnerima kehadiran calon berkenaan atau pun tidak,” katanya.
Menurut Penguang, penduduk rumah panjang di kawasan beliau telah menyatakan bahawa mereka telah menjalani kursus “Community Policing” di mana mereka telah diajar dan dilatih untuk menjaga keamanan dan ketenteraman kampung mereka daripada diceroboh oleh orang-orang luar dan merancuni pemikiran penduduk rumah panjang.
Lebih-lebih lagi pada ketika penularan wabak Covid-19 ketika ini, penduduk rumah panjang berhak sama ada untuk menerima atau menolak kehadiran orang luar berdasarkan tuntutan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Katanya jika kita lihat setiap kampung dan rumah panjang meletakkan notis bahawa orang luar dilarang masuk ke kampung tanpa kebenaran Tuai Rumah, Ketua Kampung atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselmatan Kampung (JKKK).
“Jadi bukan saya yang melarang calon pembangkang berkempen ke rumah panjang,” katanya kepada media selepas makan malam di restoran Nahkoda Cafe Kampung Dagang di sini anjuran Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Marudi pada malam Sabtu.
Kata Penguang beliau difahamkan bahawa penduduk rumah panjang, tidak mengalu-alukan kehadiran calon pembangkang tersebut atas sebab-sebab tertentu.
Pihak pembangkang tidak akan dapat memberi pembangunan di kawasan mereka, dakwa penduduk rumah panjang.
“Saya ingin memberi amaran kepada pihak ini, berkempen dan berpolitiklah secara professional dan jangan melampaui batas, seperti mentohmah, membuat tuduhan melulu, dengan mengeluarkan kenyataan berdasarkan andaian yang tidak berasas sama sekali,” amaran Penguang.
Dalam pada itu Penguang menyerahkan kepada rakyat untuk menilai pemimpin yang benar-benar komited untuk membawa pembaharuan dan kebajikan rakyat.
“Saya menyerahkan kepada rakyat untuk memilih pemimpin untuk memimpin mereka menjelang hari mengundi pada 18 Disember ini sebagai wakil rakyat mereka,”.
“ Harapan saya supaya rakyat bijak memilih siapa yang layak untuk memimpin dan untuk meneruskan kesinambungan pembangunan di kawasan mereka,” tambah Penguang.