PEMBANGUNAN kemudahan dan infrastruktur kini semakin pesat membangun di Kampung Seberang Sarikei.
Kampung yang terletak kira-kira dua kilometer dari bandar Sarikei ini kini mempunyai pelbagai pembangunan yang telah dirikan dan sedang dilaksanakan untuk dinikmati oleh penduduk kawasan ini.
Pada 30 Ogos 2019, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak akan membangunkan bandar baharu di kawasan Kampung Seberang Sarikei di dalam usaha untuk memperbesarkan bandar Sarikei.
Katanya, usaha ini termasuk dalam pelan induk pembangunan yang bakal memberi manfaat besar kepada rakyat dalam tempoh jangka panjang.
“Pelan induk tersebut sudah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).
“Melalui usaha ini, kita dapat menyediakan lebih banyak kemudahan untuk rakyat. Ia sekaligus menyediakan peluang ekonomi baharu kepada rakyat. Kita berharap perancangan ini boleh direalisasikan,” katanya ketika di Program Today For Tomorrow (T4T) – Sesi Townhall bertempat di Dewan Sentral Sarikei.
GIAT MEMBANGUN
Sementara itu, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh ketika ditemu bual baru-baru ini berkata, Kampung Seberang Sarikei kini semakin giat membangun.
Antara kemudahan yang sedang dibina di Kampung Seberang Sarikei ialah stadium mini berbumbung di Padang Kompleks Integrasi Kampung Seberang.
“Pelaksanaan fizikal untuk kemudahan sukan di Padang Kompleks Integrasi Kampung Seberang selaras dengan aspirasi penduduk yang memerlukan pembangunan asas berimpak tinggi.
“Suatu ketika dahulu hanya padang kampung, kini tanah lapang yang terletak di Kampung Seberang di sini telah menjadi salah satu lagi kemudahan sukan bertaraf moden.
“Padang Kompleks Integrasi Kampung Seberang ini juga mempunyai gelanggang futsal, petanque dan stadium mini berbumbung,” ujarnya.
Jelasnya, projek pembinaan stadium mini berbumbung di Padang Kompleks Integrasi Kampung Seberang bernilai RM988,680.
“Stadium mini berbumbung ini mempunyai sebanyak 200 tempat duduk dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan lain termasuk bilik persalinan, tandas dan bilik stor.
“Kemudahan yang disediakan ini juga merupakan sebahagian usaha untuk menggalak penyertaan golongan muda dalam aktiviti yang berfaedah selain memperkasakan perkembangan industri sukan setempat.
“Perancangan untuk menaik taraf kawasan ini sebenarnya bermula sejak beberapa tahun lalu sebelum dilaksanakan berperingkat-peringkat termasuk pembinaan stadium mini berbumbung,” katanya lagi.
LONJAKKAN SOSIOEKONOMI PENDUDUK
Len Talif yang juga Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar berkata, pada masa yang sama, ia melonjakkan sosioekomomi penduduk setempat yang bijak memanfaatkan setiap aktiviti yang dianjurkan di lokasi tersebut untuk menjana pendapatan tambahan.
Beliau juga yakin kemudahan tempat duduk berbumbung di lokasi ini mampu menarik penyertaan lebih ramai masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Saya gembira apabila projek ini hampir siap sepenuhnya walaupun sedikit tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kewujudan pasarana terbaharu itu membawa manfaat kepada masyarakat di kawasan ini khasnya golongan belia untuk menjalankan aktiviti sukan dan riadah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berharap stadium mini berbumbung ini akan dimanfaatkan sepenuhnya penduduk setempat khususnya golongan belia untuk mengadakan aktiviti-aktiviti berfaedah dan lebih sihat.
Oleh EARL ANEK