KUALA LUMPUR: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menggesa semua kerajaan untuk mematuhi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan segera membatalkan larangan perjalanan udara yang dilaksanakan bagi membendung varian Omicron Covid-19.
Dalam kenyataannya semalam, IATA berkata, pertubuhan-pertubuhan kesihatan termasuk WHO telah mengeluarkan nasihat agar larangan tersebut tidak dilaksanakan dalam usaha mengekang penularan virus tersebut.
Menurutnya, nasihat WHO bagi pergerakan antarabangsa berkaitan varian Omicron itu jelas menyatakan bahawa pelaksanaan langkah seperti saringan atau kuarantin itu perlu diperincikan berikutan terdapat proses penilaian risiko menyeluruh oleh epidemiologi tempatan di negara-negara pelepasan dan destinasi serta sistem kesihatan dan kapasiti kesihatan awam di negara-negara berlepas, transit dan ketibaan.
“Semua langkah terbabit perlu disesuaikan dengan risiko, had masa dan dilaksanakan dengan mengambil kira aspek maruah, hak asasi manusia dan kebebasan pengembara sebagaimana digariskan dalam Peraturan Kesihatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh berkata, selepas hampir dua tahun menangani Covid-19, dunia kini telah mengenali virus itu serta ketidakupayaan sekatan perjalanan dalam membendung penularannya.
“Bagaimanapun, penemuan varian Omicron itu menyebabkan kerajaan-kerajaan di peringkat global seakan lupa dan bertindak melaksanakan tindakan terburu-buru yang sebaliknya bercanggah dengan nasihat WHO,” katanya.
Sambil menggesa semua kerajaan untuk meneliti semula sekatan berkaitan Omicron itu, Walsh berkata matlamat utama adalah untuk beralih daripada kekeliruan dan masalah akibat tiada penyelarasan, tiada bukti jelas dan penilaian risiko tidak wajar yang dihadapi oleh pengembara.
“Sejajar dengan nasihat WHO, semua langkah itu perlu bercirikan masa dan sentiasa dikaji semula. Malah, sebarang keputusan tergesa-gesa yang menimbulkan ketakutan dan ketidakpastian dalam kalangan pengembara merupakan sesuatu yang tidak dapat diterima.
“Ini berikutan ramai yang akan melakukan perjalanan pada akhir tahun untuk mengunjungi keluarga masing-masing atau bercuti,” katanya.- Bernama