KYLE Walker dilayangkan kad merah lewat ketika Manchester City mengalami kekalahan mengejut 2-1 di RB Leipzig semalam namun City masih mara ke pusingan kedua Liga Juara-Juara UEFA sebagai pemenang kumpulan.
Walker dibuang padang tujuh minit sebelum tamat kerana menendang penyerang Leipzig, Andre Silva, yang sebelum itu menggandakan gol tuan rumah selepas Dominik Szoboszlai meletakkan Leipzig dihadapan pada separuh masa pertama.
“Kami menunjukkan hari ini (semalam) bahawa dengan keberanian dan kemahuan kami boleh mengalahkan semua orang,” kata Szoboszlai kepada DAZN.
Sebelum penyingkiran Walker, City telah mengurangkan defisit apabila Riyad Mahrez akhirnya menanduk masuk menewaskan penjaga gol Leipzig, Peter Gulacsi, yang sebelum ini bertindak cemerlang menyelematkan beberapa percubaan pasukan pelawat.
Walker kini akan digantung untuk perlawanan pertama pusingan kedua.
“Sekarang ini, kami tidak tahu apa yang berlaku – kami perlu duduk dan menganalisis perkara ini,” kata pemain pertahanan kiri City, Oleksandr Zinchenko.
“Bahawa kami telah memenangi kumpulan sebelum perlawanan tidak ada kena mengena dengan prestasi kami.”
Walaupun Paris Saint-Germain menang 4-1 menentang Club Brugge, City akan menyertai undian Selasa ini sebagai juara Kumpulan A manakala Leipzig di tempat ketiga menuju ke peringkat kalah mati Liga Europa.
Selepas wisel penamat, jurulatih City, Guardiola tidak dapat menyembunyikan rasa jengkelnya di tepi padang di Arena Red Bull yang hampir lengang kerana perlawanan itu dimainkan secara tertutup kerana jumlah kes Covid-19 yang tinggi di Saxony.
“Kami sudah layak dengan baki satu perlawanan daripada kumpulan yang sukar jadi saya lebih berpuas hati dengan prestasi dalam setiap perlawanan (Eropah),” kata Guardiola.
“Kami bergelut dalam separuh masa pertama hari ini, tetapi secara amnya kami telah bermain dengan baik di peringkat kumpulan.”
Leipzig bangkit dalam perlawanan pertama mereka sejak jurulatih dari Amerika, Jesse Marsch dipecat selepas keputusan tidak konsisten. Penolongnya Achim Beierlorzer berada di bangku simpanan untuk mengendalikan pasukan tuan rumah.- AFP