SEBUYAU: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Julaihi Narawi akan terus memberi keyakinan untuk terus meneruskan dasar dan agenda pembangunan khususnya kepada penduduk di kawasan Sebuyau.
Beliau yang merupakan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, ia bukan sahaja agenda pembangunan kawasan Sebuyau malah di seluruh Sarawak.
“Insyallah…kita akan terus memberi keyakinan kepada para penduduk khususnya para pengundi di Sebuyau ini supaya kita (GPS) dapat meneruskan dasar dan agenda pembangunan terutama sekali di kawasan ini.
“Sebab kita tahu bahawa banyak program pembangunan yang masih berjalan dan akan terus dijalankan untuk memberi manfaat kepada penduduk di kawasan Sebuyau dan juga untuk seluruh Sarawak secara amnya,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas proses penamaan calon di Pejabat Daerah Kecil Sebuyau.
Julaihi turut berharap agar semua penduduk khususnya pengundi di Sebuyau supaya terus memberi keyakinan kepada GPS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini bagi memastikan dasar dan agenda pembangunan dapat diteruskan.
“Ia juga akan memberikan impak dan manfaat yang besar kepada rakyat terutama sekali di kawasan luar bandar dan Sebuyau tidak terkecuali.
“Kita dapat menyaksikan bahawa pada hari ini, banyak projek-projek besar yang sedang berjalan di kawasan Sebuyau misalnya Projek Benteng Laut sepanjang 25 kilometer dari Sebangan hingga ke Sebuyau yang menelan kos RM340 juta, projek jalan raya dari sebuyau ke lingga, Jambatan Batang Lupar dan sebagainya.
“Kesemua projek ini ia menelan belanja yang besar, ini merupakan salah satu daripada projek infra yang disediakan oleh kerajaan GPS yang ada pada hari ini.
Katanya lagi, inilah perjuangan masa depan rakyat bersama-sama dengan kerajaan GPS.
“Ini bermakna masa depan rakyat terutama sekali di kawasan luar bandar adalah cerah bersama dengan kerajaan GPS yang sudah mempunyai dasar dan mempunyai agenda pembangunan yang disusun atur dan sedang dilaksanakan.
“Ia akan membawa perubahan ketara kepada tahap sosial ekonomi rakyat pada keseluruhannya khususnya di kawasan Sebuyau.
Oleh JEAKQLEYN YACHO