KUCHING: Masalah bekalan air di Lundu dijangka selesai dengan pelaksanaan 22 projek bernilai RM 223.8 juta yang dibangunkan di kawasan tersebut.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Jamilah Anu berkata, ia bertujuan bagi memastikan penduduk dapat menikmati bekalan air bersih.
Menurutnya, inisiatif ini juga akan menyediakan bekalan air berterusan melalui projek Bekalan Air Daerah Lundu dan penyerahan projek Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) bagi Kampung Pugu, Kampung Sekambal Melayu, Kampung Selarat dan Kampung Matang Terap.
“Projek kini berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang merangkumi Projek Rakyat, Projek Transformasi Luar Bandar Sarawak (RTP) dan sebagainya.
“Antaranya termasuklah empat projek dari peruntukan RTP Tanjong Datu iaitu Projek Naik Taraf Paip Graviti Kampung Kangka Tahun 2019, Naik Taraf Paip Graviti Kampung Pandan, RTP 2019, Naik Taraf Paip Graviti Kampung Sekambal Cina dan Kampung Sebuluh Cina, RTP tahun 2020 dan Naik Taraf Bekalan Air di Pulau Talang-Talang , RTP tahun 2021,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Katanya lagi, antara projek rakyat termasuklah Projek Improvement Of Water Supply di Lundu/Bau, Kuching bernilai RM1828,000, Projek Penambahbaikan Sistem Bekalan Air Sematan (Fasa2) bernilai RM15 juta dan Projek Telaga Tiub Bawah Tanah di Telok Melano yang bernilai RM4.3 juta.
“Selain itu, terdapat tiga projek masih di dalam pembinaan yang melibatkan kos berjumlah RM62.4 juta termasuk Projek SAWAS di Kampung Pugu, Kampung Sekambal Melayu, Kampung Selarat dan Matang Terap yang bernilai RM4.6 juta yang diserahkan pada 27 November lalu,” katanya.