VALENTINE NGUMBANG
PANTU: Pematuhan penduduk terhadap penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan Pekan Pantu, Pasar Sungai Tenggang dan Pasar Keranggas Gayau (Lachau) kini berada di tahap 94 peratus.
Peratusan berkenaan diperoleh Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (RELA) Daerah Sri Aman hasil rondaan dan pemantaun mereka di ketiga-tiga kawasan tersebut semenjak perintah baharu itu dikuatkuasa pada 4 Mei lalu.
Pemangku Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Joshua Ijau ketika dihubungi dari ketiga-tiga kawasan tersebut, pihaknya memberi lebih banyak fokus pemantauan dan kawalan di kawasan Pekan Pantu pada masa sekarang.
“Pembukaan Pasar Tamu Majlis Daerah Sri Aman di Pekan Pantu telah menyebabkan kawasan tersebut menjadi tumpuan ramai penduduk terutama sekali dari kawasan ladang berdekatan untuk membeli barangan mentah dan hasil hutan.
“Atas sebab ini fokus pemantauan kami lebih tertumpu di kawasan ini diikuti dengan Pasar Keranggas Gayau (Lachau) dan Pasar Sungai Tenggang dalam tempoh perlaksanaan PKPB ini,” kata beliau.
Joshua turut memberitahu Pasa Keranggas Gayau menjadi fokus pemantauan yang kedua bagi pihak RELA Daerah Sri Aman lerana kawasan ini turut menjadi tumpuan ramai penduduk yang mahu membeli bahan api dan barang keperluan harian di mini pasaraya.
Manakala itu Pasar Sungai Tenggang katanya diletak dijadikan sebagai fokus ketiga disebabkan pembukaan hanya sejumlah kecil kedai runcit hingga menyebabkan penduduk kekurangan pilihan pembelian barangan di situ.
“RELA Daerah Sri Aman akan terus melakukan pemantauan dan kawalan di ketiga-tiga lokasi ini untuk memastikan penduduk terus mematuhi arahan yang terkandung dalam PKPB,” kata beliau lagi.
Joshua turut menambah bahawa penduduk di ketiga-tiga kawasan itu tidak menghadapi masalah untuk mematuhi arahan berkenaan kerana sudah biasa mengharungi norma baharu semenjak bermula PKP pada 18 Mac lepas.
“Bagaimanapun kami amat berharap agar penduduk terus mematuhi arahan kerajaan selain memberi kerjasama terhadap polis dan pihak kami sepanjang berlangsung PKPB kali ini,” kata Joshua.