KEHADIRAN Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Sri Aman (FASA), Datuk Francis Harden Hollis yang hadir menyaksikan perlawanan Liga SSC-FAS petang semalam telah menyuntik semangat serta moral pemain Sri Aman FA.
Dalam perlawanan tersebut Sri Aman FA mudah menundukkan Sarikei FA dengan jaringan 3-0.
Setiausaha Kehormat FASA, Alfred Kendim berkata pasukan bawah 25 tahun Sri Aman FA kini berada di landasan terbaik untuk mencapai keputusan yang positif pada pusingan ‘Grand Finale’ yang bakal diadakan di Bintulu, Disember ini.
Katanya lagi pihaknya begitu berbangga dengan pencapaian sluad bimbingan Sufian Ibrahim serta dibantu Ramos Sari dan Ramles Sari itu yang tidak terkalah sepanjang lima perlawanan telah berlangsung.
“Presiden FASA telah memberi sokongan yang kuat kepada pasukan Sri Aman FA, bukan sahaja dari segi penyaluran peruntukan kepada pasukan, akan tetapi turut turun ke lapangan untuk memberi sokongan moral bagi menyuntik semangat para pemain Sri Aman.
“Datuk Francis Harden amat komited dan benar-benar optimis untuk melihat perkembangan para pemain muda Sri Aman agar terus menonjolkan diri ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.
Alfred berkata seperti yang disuarakan oleh Harden sebelum ini, beliau mahu skuad Sri Aman menempa kejayaan dengan membawa pulang Piala Liga SSC-FAS 2021 ke ‘Bumi Simanggang’ pada musim ini serta mengakui Sri Aman telah lama dahagakan piala kemenangan untuk diraikan.
“Kita bagi pihak FASA, amat mengharapkan skuad muda bawah 25 tahun pada musim ini akan menjulang nama Sri Aman, dengan membawa pulang kejayaan yang paling dinanti-nantikan penduduk di sini setelah sekian lama.
“Dengan pengurusan terbaik serta pemain yang diamanahkan oleh FASA pada kali ini, saya percaya hasrat untuk merealisasikan impian itu tidak mustahil akan jadi kenyataan pada musim ini,” ujarnya.