KUALA LUMPUR: Yinson Holdings Bhd berjaya meraih dua kontrak bernilai US$5.2 bilion (US$1=RM4.16) daripada Petróleo Brasileiro S.A. (Petrobras) yang merangkumi carter, operasi dan penyelenggaraan kapal dengan kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FSPO) bagi Integrado Parque das Baleias (IPB) di Lembangan Campos Utara di luar pesisir Brazil.
Surat Hasrat (LOI) tersebut telah diserahkan kepada unit Yinson iaitu Yinson Production Pte Ltd manakala Yinson Bergenia Production B.V, anak syarikat tidak langsung Yinson di Belanda, akan memeterai kontrak carter bagi penyediaan FPSO itu.
Pada masa sama, anak syarikat milik penuh Yinson di Brazil, Yinson Bergenia Serviços de Operação Ltda akan memeterai kontrak bagi tujuan operasi dan penyelenggaraan aset berkenaan.
Tempoh kontrak itu adalah selama 22.5 tahun daripada tarikh penerimaan akhir tersebut.
FSPO IPB merupakan kapal kedua Yinson yang beroperasi di perairan Brazil selepas FSPO Anna Nery yang diserahkan oleh Petrobras kepada Yinson pada Oktober 2019.
Kemudahan FPSO Anna Nery kini dalam proses pembinaan di Cosco Changxing, China dan dijangka beroperasi pada 2023 di telaga Marlim di bahagian timur laut Lembangan Campos.
Kumpulan itu juga berada dalam kedudukan tepat untuk melaksanakan projek FPSO IPB itu selepas memperkukuh projek, kapasiti dan kepakarannya di Brazil sejak beberapa tahun lepas, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yinson, Lim Chern Yuan(gambar) dalam kenyataan semalam.
“Brazil merupakan rantau yang amat penting bagi Yinson dan kami komited untuk memberi yang terbaik dalam usaha menyumbang kepada kemajuan industri tenaga negara tersebut.
“Kami juga gembira kerana usaha-usaha yang telah dilakukan bagi meningkatkan kehadiran di Brazil selama ini telah mewujudkan sinergi yang membolehkan projek-projek kami di sini mencatat pencapaian, sekali gus menghasilkan nilai lebih besar bagi pihak berkepentingan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yinson Production Offshore Flemming Grønnegaard berkata, pasukan itu telah mendapat pengalaman dan kemahiran yang amat bernilai menerusi aktiviti-aktiviti di Brazil.
Malah, katanya, ini telah membolehkan mereka dapat menyesuaikan diri dan menangani cabaran akibat pandemik Covid-19 serta keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
“Pengalaman ini menjadikan kami lebih kukuh dan bersedia untuk sekali lagi membuktikan keupayaan melaksanakan projek FSPO berkelas dunia ini.
“Yinson dan Petrobras juga komited untuk melaksanakan reka bentuk pelepasan (karbon) rendah dalam FPSO IPB bagi mengurangkan isu-isu perubahan iklim dunia. Kami juga teruja untuk memulakan beberapa konsep reka bentuk mampan yang kami yakin dapat membuka jalan bagi membolehkan industri mengurangkan kesan alam sekitar secara ketara,” katanya.
— Bernama