Pengundi diajak nilai prestasi lima tahun kerajaan Sarawak

Facebook
WhatsApp
BERUCAP...Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.74 Pujut, Adam Yii semasa berucap pada program PRN-13 Grand Mobilization di Miri hari ini.

MIRI, 29 Nov: Pengundi di Sarawak perlu menilai prestasi pentadbiran kerajaan negeri sepanjang lima tahun lalu berdasarkan pencapaian sebenar, khususnya dalam pembangunan ekonomi, pendidikan, kebajikan dan keharmonian masyarakat.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.74 Pujut, Adam Yii berkata, pilihan raya negeri kali ini memberi peluang kepada rakyat menilai prestasi kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sepanjang satu penggal penuh.

Beliau berkata, tempoh lima tahun merupakan masa yang bermakna untuk menilai pelaksanaan dasar dan pencapaian sesebuah pentadbiran.

Menurutnya, antara pencapaian yang wajar diberi perhatian ialah pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), bantuan pendidikan kepada sekolah Cina serta peningkatan peruntukan pendidikan Cina.

“Peruntukan tahunan kepada sekolah rendah Cina dan sekolah menengah persendirian Cina yang sebelum ini berjumlah RM22 juta akan ditingkatkan kepada RM30 juta pada 2027 seperti yang diumumkan kerajaan negeri.

“Selain itu, pelaksanaan inisiatif pendidikan tinggi percuma bermula 2026 turut membuka lebih banyak peluang kepada anak Sarawak untuk melanjutkan pengajian,” katanya ketika berucap pada program PRN-13 Grand Mobilization di sini petang tadi.

Adam Yii turut menyentuh peranan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dalam memastikan keperluan masyarakat bukan Islam terus mendapat perhatian kerajaan.

Menurutnya, jumlah keseluruhan peruntukan yang diluluskan melalui UNIFOR sebanyak RM685 juta mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memelihara keharmonian masyarakat berbilang agama.

Beliau berkata, kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya merupakan kekuatan Sarawak yang perlu terus dipertahankan melalui dasar inklusif serta sikap saling menghormati.

Menggunakan perumpamaan seorang anak yang memperoleh keputusan cemerlang tetapi tidak mendapat pengiktirafan ibu bapanya, beliau berkata setiap usaha dan pencapaian sewajarnya diberikan penilaian yang adil.

Katanya, perkara sama terpakai kepada kerajaan apabila pencapaian sepanjang tempoh pentadbiran perlu dinilai secara objektif oleh rakyat.

“Perkara yang dilakukan dengan baik perlu diberikan pengiktirafan. Kita perlu menggunakan undi untuk memberikan penghargaan kepada kepimpinan yang telah berusaha membangunkan Sarawak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi memberikan sokongan kepada GPS dan pasukan kepimpinan Abang Johari bagi membolehkan agenda pembangunan negeri diteruskan untuk tempoh lima tahun akan datang.

Oleh Liong Chai Ling