Wilson Entebang seru penyokong berpolitik secara matang, hormati perbezaan pilihan

Facebook
WhatsApp
CALON Bebas DUN N.32 Simanggang, Wilson Entebang.

SIMANGGANG, 29 Nov: Calon Bebas bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.32 Simanggang, Wilson Entebang menyeru semua penyokong parti politik supaya berkempen secara matang, berhemah dan tidak membiarkan perbezaan sokongan mencetuskan perselisihan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, perbezaan pilihan politik tidak seharusnya menjejaskan hubungan kekeluargaan, persahabatan dan kejiranan yang telah terjalin sekian lama.

“Kepada semua penyokong, saya harap kita semua dapat berpolitik secara baik dan berpada-pada. 

“Jangan terlalu mengikut emosi, jaga kata-kata dan hormati pilihan orang lain. Walaupun berbeza sokongan, kita tetap jiran, sahabat dan keluarga,” katanya.

Menurut Wilson, setiap individu mempunyai hak untuk menentukan pilihan politik masing-masing dan perkara itu perlu dihormati tanpa sebarang provokasi atau tindakan yang boleh mengeruhkan suasana.

Mengulas keputusannya bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN13), beliau berkata peluang untuk menawarkan diri sebagai calon bukanlah sesuatu yang hadir setiap masa.

“Saya sedar bahawa peluang untuk bertanding dalam pilihan raya kali ini bukanlah sesuatu yang datang setiap masa. 

“Mungkin ini peluang terbaik saya, jadi saya mengambil keputusan untuk teruskan perjuangan ini. Kalau bukan sekarang, bila lagi?” katanya.

Beliau berharap masyarakat di DUN N.32 Simanggang dapat memberikan peluang dan kepercayaan kepadanya untuk membawa suara rakyat serta menyuarakan keperluan masyarakat di kawasan berkenaan.

Walaupun bertanding sebagai calon Bebas, Wilson menegaskan beliau tetap menyokong usaha pembangunan kerajaan Sarawak yang membawa manfaat kepada rakyat dan kawasan Simanggang.

“Walaupun saya bertanding sebagai calon Bebas, saya tetap menyokong usaha pembangunan kerajaan Sarawak yang membawa manfaat kepada rakyat dan Simanggang. 

“Bagi saya, apa yang baik untuk masyarakat harus kita sokong bersama,” katanya.

Beliau turut berharap masih diberikan ruang dan peluang untuk terus berkhidmat kepada masyarakat DUN N.32 Simanggang, selain merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang selama ini memberikan sokongan serta semangat kepadanya.

Rekod penyertaan Wilson dalam pilihan raya sebelum ini menunjukkan beliau pernah memberikan saingan sengit di DUN N.32 Simanggang pada PRN12 tahun 2021 apabila bertanding atas tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Beliau memperoleh 3,779 undi berbanding calon GPS, Datuk Francis Harden Hollis yang meraih 3,954 undi, sekali gus tewas dengan majoriti tipis 175 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun 2022 pula, Wilson sekali lagi bertanding atas tiket PSB bagi kerusi Parlimen P.202 Sri Aman dan memperoleh 10,092 undi, berada di tempat kedua di belakang Doris Sophia Brodie yang menang dengan 14,131 undi dan majoriti 4,039 undi.

Oleh Adi Safarman