MIRI, 29 Nov: Dua projek pembangunan jalan raya bernilai keseluruhan RM255.8 juta dilaksanakan di bahagian utara Sarawak bagi meningkatkan kesalinghubungan, keselamatan dan kelancaran perjalanan pengguna, khususnya di kawasan Miri dan sekitarnya.
Projek berkenaan ialah Lebuhraya Trans Borneo (LTB) Seksyen Miri bernilai RM136.1 juta yang membabitkan kerja menaik taraf jalan sepanjang 4.95 kilometer dari Persimpangan Kuala Baram ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujuh.
Satu lagi projek ialah Menaik Taraf Jajaran Redline Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak bernilai RM119.7 juta yang melibatkan jajaran sepanjang 17.1 kilometer di sembilan lokasi strategik di negeri ini, termasuk Seksyen Tudan di laluan Miri-Kuala Baram.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah kedua-dua projek itu hari ini berkata pelaksanaan kedua-dua projek itu merupakan sebahagian usaha kerajaan memperkukuh infrastruktur jalan raya serta meningkatkan hubungan antara kawasan di utara Sarawak.
Menurutnya, projek LTB Seksyen Miri turut merangkumi naik taraf jalan tunggal dua lorong kepada jalan berkembar empat lorong dua hala serta penambahbaikan bulatan berhampiran CIQ Sungai Tujuh.
Beliau berkata projek LTB secara keseluruhan melibatkan tiga seksyen utama di Miri, Limbang dan Lawas dengan jajaran sepanjang 93.25 kilometer, sekali gus melengkapi rangkaian Lebuh Raya Pan Borneo dan Sarawak-Sabah Link Road (SSLR).
Kedua-dua projek itu dijangka meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya, melancarkan pergerakan trafik serta menyokong pertumbuhan perdagangan, pelancongan dan aktiviti sosioekonomi Sarawak.
Oleh Liong Chai Ling



