Menang tanpa bertanding, Razi anggap anugerah dan amanah besar rakyat Saribas

Facebook
WhatsApp
DATUK Dr Mohammad Razi Sitam bersama penyokong GPS Saribas meraikan kejayaan selepas diumum menang tanpa bertanding untuk kerusi DUN N.35 Saribas. Foto PK N35 Saribas

DEBAK, 29 Nov: Kemenangan tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.35 Saribas pada Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN13) disifatkan sebagai satu anugerah besar, namun hadir bersama tanggungjawab dan amanah yang cukup berat kepada rakyat.

Penyandang kerusi DUN Saribas, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, beliau bersyukur atas kemenangan tersebut dan melihatnya sebagai satu ujian untuk terus memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kemenangan itu bukan sekadar kejayaan politik, sebaliknya mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan serta usaha yang telah dilaksanakan selama ini.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur atas kemenangan tanpa bertanding ini. Ia merupakan satu anugerah, tetapi pada masa sama satu ujian yang perlu digalas bersama tanggungjawab dan amanah yang besar kepada rakyat.

“Rakyat telah memberikan kepercayaan dan meletakkan harapan yang tinggi kepada saya. Kemenangan ini adalah satu bentuk keyakinan rakyat yang perlu saya hargai dan balas dengan perkhidmatan terbaik,” katanya.

Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan itu akan menjadi pemangkin untuk meneruskan perancangan serta pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan di kawasan Saribas.

DATUK Dr Mohammad Razi Sitam sebelum diarak penyokong ke pusat penamaan calon. Foto PK N35 Saribas

Katanya, segala usaha pembangunan yang telah dirancang akan diteruskan dengan memberi perhatian kepada keperluan rakyat, khususnya dalam meningkatkan kemudahan asas, infrastruktur dan kesejahteraan masyarakat.

Razi turut menegaskan komitmennya untuk sentiasa mendekati dan menyantuni rakyat tanpa mengira latar belakang, selain memastikan suara serta keperluan masyarakat terus diberi perhatian.

“Insya-Allah, perancangan dan pelaksanaan pembangunan di kawasan ini akan diteruskan. Saya juga akan sentiasa menyantuni rakyat kerana amanah yang diberikan ini adalah untuk semua,” katanya.

Dalam pada itu, kemeangan tanpa bertanding pada PRN13 menyaksikan Razi meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat Saribas untuk penggal keempat selepas tiga penggal terdahulu.

Rekod pilihan raya menunjukkan beliau pertama kali memenangi kerusi berkenaan pada PRN10 2011 ketika kawasan itu dikenali sebagai N.30 Saribas dengan majoriti 1,728 undi.

Pada PRN11 2016, beliau mempertahankan kerusi N.35 Saribas atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan memperoleh 5,963 undi dan majoriti 4,432 undi.

Beliau sekali lagi mempertahankan kerusi itu pada PRN12 2021 menerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan memperoleh 5,138 undi serta majoriti 3,236 undi.

Terbaharu, pada PRN13 2026, Razi diumumkan menang tanpa bertanding, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai wakil rakyat Saribas untuk penggal keempat.

Oleh Adi Safarman